Saturday, May 16, 2009

Kearah Penyelesaian Konflik Spratly

Tindakan China memberikan amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Spratly baru baru ini timbul apabila Malaysia dan Vietnam secara bersama telah mengemukakan submission kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pelantar benua lanjutan (extended continental shelf) melebihi 200 batu nautika berdasarkan kriteria saintifik di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (KUUL) 1982. Ia sebenarnya bukannya merupakan tuntutan wilayah. Pada amnya terdapat kawasan pelantar benua yang melebihi 200 batu nautika dari tuntutan semua negara melalui perundangan antarabangsa.
Dari segi sejarah, konflik di kepulauan Spratly menjadi rumit bila 6 negara yang menuntut iaitu Brunei, Filipina, Malaysia, Taiwan, China dan Vietnam menduduki pulau, terumbu dan beting pasir yang sebahagian besar di luar dari 200 batu nautika dari pantai dengan menempatkan pasukan keselamatannya. Kapal-kapal tentera laut masing-masing juga membuat pengawasan ke atas perairan tersebut dan sering berlakunya konflik antara pihak berkuasa dan juga nelayan yang menceroboh perairan tersebut. Tuntutan mereka berdasarkan faktor sejarah, pendudukan secara fizikal dan berdasarkan perundangan antarabangsa.
Apakah sebenarnya konflik Spratly tidak dapat diselesaikan? Persoalan ini seakan-akan tiada jawapannya. Sebenarnya hampir semua pihak yang menuntut adalah ahli parti kepada KUUL 1982 kecuali Taiwan. KUUL 1982 merupakan dokumen yang komprehensif mengenai pengurusan kelautan termasuklah peruntukan mengenai zon-zon maritim. Walau bagaimanapun, interpretasi yang berbeza menyebabkan setiap negara mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing dan wujudlah tuntutan bertindih zon maritim seperti zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua serta tuntutan kedaulatan ke atas pulau, terumbu karang dan beting pasir yang dikatakan tidak ada pihak yang menuntut. Ini ditambah dengan keperluan setiap negara untuk mempertahankan hak dan kedaulatan perairan mereka yang digariskan dalam Dasar Keselamatan Nasional mahupun Dasar Luar Negara masing-masing. Negara-negara yang menuntut kebanyakannya masih mengekalkan fahaman realisme dimana mereka perlu mempertahankan hak kedaulatan negara. Konflik Spratly adalah konflik kepentingan iaitu keinginan menguasai pulau, terumbu dan beting pasir dan perairanya yang kaya dengan sumber hidupan (ikan) dan bukan hidupan (minyak, gas, mineral) selain kepentingan strategik dan pertahanan berdasarkan Laut China Selatan merupakan laluan perkapalan dan kapal tentera laut yang menghubungkan Timur dan Barat.
Walaupun terdapat usaha untuk mengadakan rundingan dua hala dan pelbagai hala namun ia gagal. Melalui usaha ASEAN, Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan telah ditandatangani pada 2002 namun ia masih gagal untuk meredakan keadaan.
Konflik wujud disebabkan pertentangan pandangan atau pendirian antara individu, kumpulan mahupun antara negara ke atas sesuatu perkara. Sesuatu konflik antara negara boleh diselesaikan samada melalui rundingan atau penyelesaian melalui pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Malaysia dan Brunei baru-baru ini mengumumkan akan memuktamadkan perbatasan maritim di Laut China Selatan. Malaysia, Singapura dan Indonesia pula telah merujuk kepada badan perundangan dunia tersebut dalam menyelesaikan tuntutan kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Batu Puteh. Adakah ini bermakna penyelesaian hanya boleh dicapai jika melibatkan negara-negara ASEAN sahaja? Langkah menyelesaikan konflik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa tidak akan menjadi kenyataan kerana ianya memerlukan persetujuan semua pihak yang menuntut. Sekiranya ia dirujuk kepada ICJ maka ICJ perlu diberikan mandat untuk menentukan hak kedaulatan dan perbatasan maritim yang menyeluruh. Ini sudah tentu menjadi lebih rumit dan mencatakan sejarah badan dunia tersebut bila ia membicarakan kes yang melibatkan pelbagai pihak. Dengan demikian penyelesaian melalui persetujuan politik mungkin lebih sesuai. Dalam hal ini, terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan bagi meredakan konflik seperti berikut:
1. Negara-negara yang menuntut perlu menghormati, mematuhi dan melaksanakan sepenuhnya peruntukan-peruntukan berkaitan dengan zon maritim iaitu laut wilayah, zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua yang diukur dari garis pangkal maritim negara tersebut.
2. Meneliti semua peruntukan-peruntukan di bawah Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan 2002 dari segi pematuhan kepada KUUL 1982 khususnya mengenai keperluan submission pelantar benua melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal (Tarikh akhir submission telah tamat pada 13 Mei 2009)
3. Menghentikan semua pembinaan struktur dan pendudukan ke atas pulau dan terumbu yang baru.
4. Meneruskan perbincangan informal dalam membincangkan isu-isu bersama di Laut China Selatan tanpa menjejaskan kedaulatan negara berdasarkan KUUL 1982. Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam rundingan perbatasan maritim dan kes kedaulatan yang telah dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa boleh menerajui perbincangan in.

Friday, April 17, 2009

Konflik di Demokratik Republik Congo

Republik Demokratik Congo (DRC) masih dikancah konflik sejak merdeka dari Belgium pada 30 Jun 1960. Ini menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menghantar Pasukan Pengaman bagi kali kedua pada 2000. Konflik yang intractable ini melibatkan krisis politik, rampasan kuasa, pemberontakan kumpulan bersenjata, penglibatan Rwanda dan Uganda yang menyokong kumpulan pemberontakan tersebut, pengekspolitasian sumber mineral dan konflik antara etnik. Namibia, Angola dan Zimbabwe telah terlibat dalam konflik tersebut. Konflik ini telah menyebabkan kematian 5.4 juta orang, ratusan ribuan menjadi pelarian dan pelbagai isu kemanusiaan lagi. Ia bukan sahaja mengancam keselamatan dan kedaulatan DRC tetapi juga kepada Afrika keseluruhannya.
DRC hanya menguasai bahagian Barat manakala Timur DRC dibawah kumpulan pemberontakan Rally for Congolese Democracy (RCD) dan Congolese Liberation Movement (MLC). Presiden Laurent Kabila sejak 17 Mei 1997 dan kini Presiden Joseph Kabila telah berusaha untuk mencapai perdamaian. Ini membawa kepada Perjanjian Gencatan Senjata Lusaka pada 10 Julai 1999. Walau bagaimanapun, perjanjian ini masih belum dilaksanakan sepenuhnya walaupun Rwanda dan Uganda telah mengundurkan tenteranya dari wilayah DRC. Walaupun konflik dikatakan tamat pada 2003, RCD dan MLC masih lagi meneruskan kempen serangannya di North Kivu, Timur DRC.
Konflik ini juga telah menarik perhatian Organization Africa Union (OAU) dan Southern African Development Community (SADC) serta Amerika, Perancis dan China. Semua pihak mempunyai peranan dalam memastikan konflik ini dapat diselesaikan dan rakyat DRC menikmati keamanan yang berkekalan. Ia bukan dapat dilaksanakan dalam sekelip mata tetapi perlu dilaksanakan berdasarkan proses-proses yang dipersetujui oleh semua pihak. Kajian ini akan memberikan tumpuan kepada konflik selepas Laurent Kabila menjadi Presiden DRC mulai 17 Mei 1997 sehingga kini.

Pengedaran Dadah Haram di Rantau Amerika Selatan

Selepas berakhirnya Perang Dingin, ancaman kselamatan negara bukan lagi ancaman ketenteraan tetapi ancaman dari aktor bukan negara seperti jenayah terancang rentas sempadan. Ia meliputi penyeludupan manusia, pengedaran dadah haram, pengubahan wang haram, pelanunan, penyeludupan senjata dan sebagainya. Aktiviti pengedaran dadah merupakan aktiviti yang mempunyai kaitan hampir dengan semua aktiviti jenayah antarabangsa tersebut. Sebelum ini ia merupakan aktiviti yang wujud dalam sesebuah negara sahaja dan kini telah bergiat aktif di negara lain. Aktiviti pengedaran dadah haram meliputi penanaman, pengedaran dan penggunaan dadah yang melibatkan heroin, kokain, kanabis, marijuana dan dadah sintetik amphetamine-type stimulants (ATS). Golden Cresent di Asia Selatan (Pakistan, Iran dan Afghanistan) dan Golden Triangle (Myanmar, Thailand dan Laos) di Asia Tenggara merupakan kawasan penanaman utama popi bagi heroin manakala Andean Triangle di Amerika Selatan (Colombia, Peru dan Bolivia) bagi penanaman koka untuk kokain.

Proses globalisasi yang semakin meningkat sejak 1990an bukan sahaja memberikan kebaikan kepada negara tetapi juga memberikan kesan negatif. Aktor-aktor bukan negara seperti kumpulan pengedar dadah, pengganas dan jenayah terancang telah mengambil peluang dari sistem pasaran perdagangan bebas, pengurangan pemeriksaan sempadan, revolusi kecanggihan sistem komunikasi dan teknologi maklumat, kemudahan sistem kewangan dan sistem perbankan elektronik serta peningkatan kemudahan pengangkutan dalam meningkatkan aktiviti mereka seluruh dunia. Ini menyebabkan negara-negara sukar untuk menangani ancaman dari aktor bukan negara ini kerana ianya bersifat rentas sempadan dan bukan mewakili negara.

Aktiviti pengedaran dadah haram ini bukan sahaja memberikan ancaman kepada sesebuah negara dari segi keselamatan dan kestabilan politik tetapi juga ancaman keselamatan serantau dan kini keselamatan insan. Ini kerana aktiviti pengedaran dadah haram ini bukan sahaja dilakukan oleh Kartel dadah tempatan tetapi juga melibatkan kumpulan jenayah terancang, kumpulan pemberontakan bersenjata dan kumpulan pengganas antarabangsa. Aktiviti ini menjanjikan sumber kewangan bagi kumpulan tersebut dengan risiko yang rendah khususnya jika dilaksanakan di negara-negara yang dikatakan negara yang lemah.

Isu Keselamatan Maritim Asia Pasifik

Hampir semua negara di rantau Asia Pasifik merupakan negara berpantai dan mempunyai sempadan maritim antara satu sama lain. Hanya Laos dan Mongolia yang merupakan negara tiada pantai (landlocked states). Laut memainkan peranan penting kepada rantau ini dari segi ekonomi perdagangan, pengangkutan, sumber perikanan, petroleum dan gas, pelancongan. jalur komunikasi dan pertahanan. Selat Melaka dan Selat Singapura merupakan jalur komunikasi antarabangsa yang penting di rantau Asia Pasifik yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut Pasifik selain dari Selat Lombok dan Selat Sunda seperti Peta di Lampiran A.[1] Dianggarkan 50% perdagangan dunia dan 2/3 bekalan tenaga global melalui kedua-dua selat tersebut. 80% minyak mentah Jepun dari Timur Tengah juga melaluinya. Dianggarkan sebanyak 60,000 buah kapal melalui selat ini setiap tahun.[2] Selat tersebut bukan sahaja penting kepada negara-negara di rantau Asia Pasifik tetapi juga negara yang mempunyai kepentingan maritim seperti Amerika Syarikat.

Kepentingan ini memerlukan jaminan keselamatan maritim ke atas laluan perkapalan antarabangsa di selat tersebut dari ancaman pelanunan, rompakan dan keganasan, nelayan bebas menjalankan aktiviti menangkap ikan manakala pelantar-pelantar minyak di tengah lautan bebas dari ancaman pengganas. Gangguan ke atas keselamatan Selat Melaka dan Selat Singapura bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi serantau tetapi juga ekonomi global. Keselamatan maritim dilihat sama penting dengan isu keselamatan terrestrial di rantau Asia Pasifik seperti konflik nuklear Semenanjung Korea, konflik India-Pakistan, konflik Kashmir, isu Selat Taiwan, ancaman pengganas[3] dan kini keselamatan insan (human security).[4] Isu keselamatan maritim di rantau Asia Pasifik hangat dibincangkan sejak serangan pengganas pada 11 September 2001 (9/11) dimana pengganas dikatakan akan melakukan serangan keatas laluan perkapalan strategik dunia seperti Selat Melaka dan Selat Singapura.[5]
[1] Joshua Ho, 2005, The Security of Regional Sea Lanes, Singapura, Institute of Defence and Strategic Studies, hlm. 2
[2] Tibor Kovacs, 2005, Maritime Security in the Straits of Malacca: Risk and Responses, Madrid
[3] Isu-isu keselamatan di rantau Asia Pasifik dibincangkan dalam ASEAN Regional Forum, 2008, Annual Security Outlook, Singapore, 24 Julai.
[4] Mohamed Jawhar Hassan, Security Outlook for the Asia Pacific Region, http://www.isis.org.my/files/bfpss/Security%20Outlook%20in%20the%20Asia%20Pacific%20Region.pdf [10 Mac 2009]
[5] Sam Bateman, 2006, Assessing the Threat of Maritime Terrorism: Issues for the Asia-Pacific Region Security Challenges, Volume 2 Number 3 (October 2006), hlm.78

Cabaran Pengurusan Sempadan Malaysia

CABARAN PENGURUSAN KESELAMATAN SEMPADAN

1. PENDAHULUAN

Konsep keselamatan negara merupakan konsep yang diperkenalkan negara Barat dan merujuk kepada Amerika Syarikat pada era selepas Perang Dunia ke 2[1]. Dalam hal ini, terdapat beberapa sarjana yang memberikan takrifan mengenai konsep keselamatan negara. Trager and Simone (1973) telah menginterpretasikan keselamatan negara sebagai usaha untuk mencapai nilai-nilai nasional (national values) yang merangkumi sistem politik, sosial dan asas fizikal terbentuknya sesebuah negara. Nilai-nilai nasional ini merujuk kepada kelangsungan hidup (survival) bagi memastikan kewujudan yang berterusan sesebuah negara dan masyarakat, bahasa, pembangunan sosial dan ekonomi, kemerdekan politik dan integriti sempadan.[2]
[1] Edward E. Azar and Chung In Moon, 1998, Rethinking Third World National Security, National Security in the Third World, Edward E.Azar and Chung in Moon (pnyt), Aldershot, Edward Elgar Publishing Limited. hlm. 1
[2] F. N. Trager & F. L. Simone, An Introduction to the Study of National Security, F. N. Trager & P. Kronenberg (pnyt), National Security and American Society, University Press of Kansas, Lawrence, 1973, p. 36......................................................................

Lawatan ke Central Market




Kali terakhir menjejak kaki ke Central Market atau CM ni lebih kurang 10 tahun lepas. Itupun masa kat UM dulu.Banyak perubahan di dalamnya yang meriah dengan pelbagai gerai kraftangan. Melawat CM boleh dikatakan melawat Malaysia kerana semua kraftangan ada di sana. Walaubagaimanapun, parking kereta tak banyak kerana ruang yang terhad. Mungkin kena guna public transport.

Wednesday, December 3, 2008

Cadangan Pewujudan Pasukan Pengaman Maritim Antarabangsa Menangani Lanun di Teluk Aden