Thursday, May 28, 2009

Penyelesaian Konflik Spratly

Utusan Malaysia (18 Mei 2009)

TINDAKAN China memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Spratly baru-baru ini timbul apabila Malaysia dan Vietnam secara bersama telah mengemukakan submission kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelantar benua lanjutan (extended continental shelf) melebihi 200 batu nautika berdasarkan kriteria saintifik di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (KUUL) 1982.
Ia sebenarnya bukannya merupakan tuntutan wilayah.
Pada amnya terdapat kawasan pelantar benua yang melebihi 200 batu nautika dari tuntutan semua negara melalui perundangan antarabangsa.
Dari segi sejarah, konflik di Kepulauan Spratly menjadi rumit apabila enam negara yang menuntut iaitu Brunei, Filipina, Malaysia, Taiwan, China dan Vietnam menduduki pulau, terumbu dan beting pasir yang sebahagian besar di luar dari 200 batu nautika dari pantai dengan menempatkan pasukan keselamatan masing-masing.
Kapal-kapal tentera laut masing-masing juga membuat pengawasan ke atas perairan tersebut dan sering berlakunya konflik antara pihak berkuasa dan juga nelayan yang menceroboh perairan tersebut.
Tuntutan mereka berdasarkan faktor sejarah, pendudukan secara fizikal dan berdasarkan perundangan antarabangsa.
Apakah sebenarnya konflik Spratly tidak dapat diselesaikan? Persoalan ini seakan-akan tiada jawapannya. Sebenarnya hampir semua pihak yang menuntut adalah ahli parti kepada KUUL 1982 kecuali Taiwan.
KUUL 1982 merupakan dokumen yang komprehensif mengenai pengurusan kelautan termasuklah peruntukan mengenai zon-zon maritim.
Walau bagaimanapun, interpretasi yang berbeza menyebabkan setiap negara mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing dan wujudlah tuntutan bertindih zon maritim seperti zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua serta tuntutan kedaulatan ke atas pulau, terumbu karang dan beting pasir yang dikatakan tidak ada pihak yang menuntut.
Ini ditambah dengan keperluan setiap negara untuk mempertahankan hak dan kedaulatan perairan mereka yang digariskan dalam Dasar Keselamatan Nasional mahupun Dasar Luar Negara masing-masing.
Negara-negara yang menuntut kebanyakannya masih mengekalkan fahaman realisme di mana mereka perlu mempertahankan hak kedaulatan negara.
Konflik Spratly adalah konflik kepentingan iaitu keinginan menguasai pulau, terumbu dan beting pasir dan perairannya yang kaya dengan sumber hidupan (ikan) dan bukan hidupan (minyak, gas, mineral) selain kepentingan strategik dan pertahanan berdasarkan Laut China Selatan merupakan laluan perkapalan dan kapal tentera laut yang menghubungkan Timur dan Barat.
Walaupun terdapat usaha untuk mengadakan rundingan dua hala dan pelbagai hala namun ia gagal. Melalui usaha ASEAN, Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan telah ditandatangani pada 2002 namun ia masih gagal untuk meredakan keadaan.
Konflik wujud disebabkan pertentangan pandangan atau pendirian antara individu, kumpulan mahu pun antara negara ke atas sesuatu perkara.
Sesuatu konflik antara negara boleh diselesaikan sama ada melalui rundingan atau penyelesaian melalui pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Malaysia dan Brunei baru-baru ini mengumumkan akan memuktamadkan perbatasan maritim di Laut China Selatan.
Malaysia, Singapura dan Indonesia telah merujuk kepada badan perundangan dunia tersebut dalam menyelesaikan tuntutan kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Batu Puteh. Adakah ini bermakna penyelesaian hanya boleh dicapai jika melibatkan negara-negara ASEAN sahaja?
Langkah menyelesaikan konflik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa tidak akan menjadi kenyataan kerana ia memerlukan persetujuan semua pihak yang menuntut.
Sekiranya ia dirujuk kepada ICJ maka ICJ perlu diberikan mandat untuk menentukan hak kedaulatan dan perbatasan maritim yang menyeluruh. Ini sudah tentu menjadi lebih rumit bila ia membicarakan kes yang melibatkan pelbagai pihak.
Dengan demikian penyelesaian melalui persetujuan politik mungkin lebih sesuai. Dalam hal ini, terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan bagi meredakan konflik seperti berikut:
l Negara-negara yang menuntut perlu menghormati, mematuhi dan melaksanakan sepenuhnya peruntukan-peruntukan berkaitan dengan zon maritim iaitu laut wilayah, zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua yang diukur dari garis pangkal maritim negara tersebut.
l Meneliti semua peruntukan-peruntukan di bawah Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan 2002 dari segi pematuhan kepada KUUL 1982 khususnya mengenai keperluan submission pelantar benua melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal (Tarikh akhir submission telah tamat pada 13 Mei 2009).
l Menghentikan semua pembinaan struktur dan pendudukan ke atas pulau dan terumbu yang baru.
l Meneruskan perbincangan informal dalam membincangkan isu- isu bersama di Laut China Selatan tanpa menjejaskan kedaulatan negara berdasarkan KUUL 1982.
Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam rundingan perbatasan maritim dan kes kedaulatan yang telah dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa boleh menerajui perbincangan ini.
HAMZAH ISHAK
Semenyih, Selangor

Ancaman PKM kepada Keselamatan Negara

Ideologi PKM masih jadi ancaman (Berita Harian-28 Mei 2009)

PARTI Komunis Malaya (PKM) menjadi ancaman kepada keselamatan negara sebelum dan selepas merdeka sehingga termeterai Perjanjian Damai 1989. Namun, apa yang heboh sekarang ini ialah ada usaha membawa pulang bekas pemimpin utama PKM, Chin Peng ke Malaysia. Adakah ini bermakna ancaman itu sudah tiada lagi? Adakah kita mudah lupa dengan serangan PKM ke atas Balai Polis Bukit Kepong menyebabkan ramai insan tidak berdosa terkorban? Adakah PKM layak dianggap sebagai 'pejuang' sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan politik? Dalam hal ini semua pihak meliputi rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan sebagainya perlu memahami apa yang dikatakan sebagai ancaman keselamatan negara dengan melihat kepada konsep keselamatan itu sendiri.

Pada amnya keselamatan ditakrifkan sebagai kebebasan daripada sebarang ancaman sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara. Ancaman itu boleh berbentuk fizikal seperti serangan bersenjata negara lain, kegiatan pengganas atau yang bukan berbentuk fizikal seperti ideologi, serangan politik, ekonomi dan sosial. Konsep keselamatan negara adalah konsep Barat dan diperkenalkan oleh Amerika Syarikat pada era selepas Perang Dunia Kedua yang lebih merujuk kepada ancaman dari luar iaitu Kesatuan Soviet. Ada beberapa sarjana memberikan takrifan mengenai konsep keselamatan negara. Antaranya adalah Trager and Simone (1973) yang mentafsirkan keselamatan sebagai usaha untuk mencapai nilai nasional merangkumi sistem politik, sosial dan asas fizikal tertubuhnya sesebuah negara.
Nilai nasional ini merujuk kepada kelangsungan hidup bagi memastikan kewujudan berterusan sesebuah negara dan masyarakat, bahasa, pembangunan sosial dan ekonomi, kemerdekaan politik dan integriti sempadan. Al Mashat (1985) pula mentafsirkan nilai nasional itu sebagai nilai teras yang harus dipertahankan. Nilai teras yang dimaksudkan di sini ialah nilai mendukung elemen asas kepada kewujudan sesebuah negara. Elemen diperlukan untuk kewujudan sesebuah negara terdiri daripada sempadan, pemerintah, masyarakat dan kedaulatan. Keutamaan kepada nilai teras ini sering berubah, tertakluk kepada dinamik isu atau peristiwa dilihat berpotensi menjadi ancaman kepada nilai teras itu dan jika ini berlaku, ia dianggap sebagai memberi ancaman kepada keselamatan negara. Keselamatan negara difahami sebagai negara terselamat daripada ancaman musuh yakni ancaman ketenteraan yang datangnya dari luar sempadan negara.
Bagi dunia sedang membangun seperti Malaysia, ancaman kepada negara datangnya dari dalam dan luar negara ke atas nilai teras iaitu perpaduan kaum, pembangunan ekonomi, kedaulatan dan keutuhan wilayah. Berdasarkan kepada konsep itu, ideologi PKM masih menjadi ancaman kerana ia boleh mengancam nilai teras negara iaitu kepada perpaduan kaum. Dalam era globalisasi ini, walaupun tidak wujud gerakan secara bersenjata, penggunaan kecanggihan teknologi dan komunikasi mampu untuk menghidupkan semula ideologi komunis khususnya penyebaran melalui laman web dan blog. Usaha membawa pulang Chin Peng jika tidak diambil perhatian serius mampu memberi ancaman kepada keselamatan negara. Dengan demikian Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih lagi relevan untuk membendung ancaman ini. Sekali silap membuat keputusan maka peristiwa hitam yang dilakukan oleh PKM akan berulang kembali. Ia perlu dicegah daripada awal. HAMZAH ISHAK, Semenyih.

Saturday, May 16, 2009

Kearah Penyelesaian Konflik Spratly

Tindakan China memberikan amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Spratly baru baru ini timbul apabila Malaysia dan Vietnam secara bersama telah mengemukakan submission kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pelantar benua lanjutan (extended continental shelf) melebihi 200 batu nautika berdasarkan kriteria saintifik di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (KUUL) 1982. Ia sebenarnya bukannya merupakan tuntutan wilayah. Pada amnya terdapat kawasan pelantar benua yang melebihi 200 batu nautika dari tuntutan semua negara melalui perundangan antarabangsa.
Dari segi sejarah, konflik di kepulauan Spratly menjadi rumit bila 6 negara yang menuntut iaitu Brunei, Filipina, Malaysia, Taiwan, China dan Vietnam menduduki pulau, terumbu dan beting pasir yang sebahagian besar di luar dari 200 batu nautika dari pantai dengan menempatkan pasukan keselamatannya. Kapal-kapal tentera laut masing-masing juga membuat pengawasan ke atas perairan tersebut dan sering berlakunya konflik antara pihak berkuasa dan juga nelayan yang menceroboh perairan tersebut. Tuntutan mereka berdasarkan faktor sejarah, pendudukan secara fizikal dan berdasarkan perundangan antarabangsa.
Apakah sebenarnya konflik Spratly tidak dapat diselesaikan? Persoalan ini seakan-akan tiada jawapannya. Sebenarnya hampir semua pihak yang menuntut adalah ahli parti kepada KUUL 1982 kecuali Taiwan. KUUL 1982 merupakan dokumen yang komprehensif mengenai pengurusan kelautan termasuklah peruntukan mengenai zon-zon maritim. Walau bagaimanapun, interpretasi yang berbeza menyebabkan setiap negara mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing dan wujudlah tuntutan bertindih zon maritim seperti zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua serta tuntutan kedaulatan ke atas pulau, terumbu karang dan beting pasir yang dikatakan tidak ada pihak yang menuntut. Ini ditambah dengan keperluan setiap negara untuk mempertahankan hak dan kedaulatan perairan mereka yang digariskan dalam Dasar Keselamatan Nasional mahupun Dasar Luar Negara masing-masing. Negara-negara yang menuntut kebanyakannya masih mengekalkan fahaman realisme dimana mereka perlu mempertahankan hak kedaulatan negara. Konflik Spratly adalah konflik kepentingan iaitu keinginan menguasai pulau, terumbu dan beting pasir dan perairanya yang kaya dengan sumber hidupan (ikan) dan bukan hidupan (minyak, gas, mineral) selain kepentingan strategik dan pertahanan berdasarkan Laut China Selatan merupakan laluan perkapalan dan kapal tentera laut yang menghubungkan Timur dan Barat.
Walaupun terdapat usaha untuk mengadakan rundingan dua hala dan pelbagai hala namun ia gagal. Melalui usaha ASEAN, Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan telah ditandatangani pada 2002 namun ia masih gagal untuk meredakan keadaan.
Konflik wujud disebabkan pertentangan pandangan atau pendirian antara individu, kumpulan mahupun antara negara ke atas sesuatu perkara. Sesuatu konflik antara negara boleh diselesaikan samada melalui rundingan atau penyelesaian melalui pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Malaysia dan Brunei baru-baru ini mengumumkan akan memuktamadkan perbatasan maritim di Laut China Selatan. Malaysia, Singapura dan Indonesia pula telah merujuk kepada badan perundangan dunia tersebut dalam menyelesaikan tuntutan kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Batu Puteh. Adakah ini bermakna penyelesaian hanya boleh dicapai jika melibatkan negara-negara ASEAN sahaja? Langkah menyelesaikan konflik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa tidak akan menjadi kenyataan kerana ianya memerlukan persetujuan semua pihak yang menuntut. Sekiranya ia dirujuk kepada ICJ maka ICJ perlu diberikan mandat untuk menentukan hak kedaulatan dan perbatasan maritim yang menyeluruh. Ini sudah tentu menjadi lebih rumit dan mencatakan sejarah badan dunia tersebut bila ia membicarakan kes yang melibatkan pelbagai pihak. Dengan demikian penyelesaian melalui persetujuan politik mungkin lebih sesuai. Dalam hal ini, terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan bagi meredakan konflik seperti berikut:
1. Negara-negara yang menuntut perlu menghormati, mematuhi dan melaksanakan sepenuhnya peruntukan-peruntukan berkaitan dengan zon maritim iaitu laut wilayah, zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua yang diukur dari garis pangkal maritim negara tersebut.
2. Meneliti semua peruntukan-peruntukan di bawah Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan 2002 dari segi pematuhan kepada KUUL 1982 khususnya mengenai keperluan submission pelantar benua melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal (Tarikh akhir submission telah tamat pada 13 Mei 2009)
3. Menghentikan semua pembinaan struktur dan pendudukan ke atas pulau dan terumbu yang baru.
4. Meneruskan perbincangan informal dalam membincangkan isu-isu bersama di Laut China Selatan tanpa menjejaskan kedaulatan negara berdasarkan KUUL 1982. Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam rundingan perbatasan maritim dan kes kedaulatan yang telah dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa boleh menerajui perbincangan in.