Friday, September 11, 2009

Monday, September 7, 2009

Penetapan Gaji Minimum Bulanan Pembantu Rumah Indonesia

Saya sebagai majikan yang menggajikan pembantu rumah Indonesia sejak 2000 tidak setuju sama sekali dengan pemintaan kerajaan Indonesia bagi gaji minimum RM800 sebulan. Penetapan tersebut hanya memberikan keuntungan kepada sebelah pihak iaitu pembantu rumah dan bukannya kedua-dua pihak. Dalam mana-mana proses rundingan, prinsip sama-sama untung adalah teras kepada persetujuan. Perlu dingat, tidak ada sejarah dalam dunia gaji bulanan ditentukan oleh pekerja. Semua gaji dan kelayakan bekerja ditentukan oleh majikan baik di Malaysia maupun Indonesia. Isu gaji pembantu rumah sebenarnya telah dijadikan ’alat tawar-menawar’ dalam situasi dimana wujudnya pelbagai isu dua hala antara Malaysia dan Indonesia bermula konfrontasi 1962 sehinggalah isu Tarian Pandet. Malaysia tidak perlu tunduk dengan pemintaan tersebut dan kedua-dua pihak perlu mencari jalan penyelesaian. Jika tidak, hentikan sahaja pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dan cari alternatif lain.
Gaji minimum bulanan pada masa kini sekitar RM600 (baru dinaikkan oleh Indonesia) wajar dikekalkan. Pada tahun 2000, gaji minimum yang dibayar adalah RM400. Gaji RM600 adalah setimpal kerana ia adalah gaji bersih dan bukannya dipotong dari segi tempat tinggal, makan dan minum, tambang pergi dan balik, kemudahan air dan elektrik dan semua kos bagi pengambilan pembantu rumah. Pekerja Malaysia sendiri yang bekerja di sektor kerajaan atau swasta perlu menanggung kos penginapan, makan dan minum, kemudahan air dan elektrik. Jika dibandingkan dengan pembantu rumah Indonesia yang bekerja sendiri di majikan mereka di Indonesia, gaji pembantu rumah Indonesia di Malaysia boleh diibaratkan sebagai ’jutawan’. Inilah dikatakan Malaysia sebagai ’lubuk emas’ tidak kira mereka yang datang bekerja secara halal atau haram sehinggalah yang datang untuk melakukan jenayah.
Jika gaji minimum bulanan RM800 dipersetujui, maka pembantu rumah perlu mempunyai kelayakan dan kemahiran seperti berikut:
· Perlu mempunyai tahap pendidikan setaraf Sijil Pelajaran Malaysia dan lulus ujian kecekapan Bahasa Malaysia. Ini kerana rata-rata pembantu rumah Indonesia adalah mereka yang berpendidikan rendah, kurang pemahaman, kurang cerdik dan tidak faham Bahasa Malaysia.
· Perlu mempunyai Sijil Kelayakan Pembantu Rumah. Ini kerana terdapat pembantu rumah yang tidak tahu untuk melakukan kerja rumah. Kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu mewujudkan satu mekanisma dimana calon pembantu rumah perlu mengikuti kursus intensif selama 3-6 bulan bagi memahami budaya, jenis pekerjaan dan sebagainya. Sijil tersebut pula perlu diiktiraf oleh Malaysia.
· Perlu menanggung semua kos pengambilan (RM5000),kos Levi (RM445) dan Pemeriksaan Perubatan Fomema (RM190).
· Perlu membayar sewa bilik (RM150 sebulan), makan dan minum (RM100), air dan elektrik (RM50.00).
· Perlu membayar wang deposit bekerja (RM1000). Ini kerana terdapat pembantu rumah yang lari dan ada yang mencuri harta majikan. Wang tersebut akan dipulangkan setelah tamat kontrak.
Majikan juga bertanggungjawab dengan menyenaraikan tugas dan kerja yang perlu dilaksanakan, memberikan cuti sehari seminggu dan menanggung tambang pergi dan balik sekali dalam tempoh kontrak. Kerajaan Indonesia juga perlu mewujudkan tempat penginapan bagi pembantu rumah yang bercuti ini dan memastikan hanya pembantu rumah yang mempunyai kelayakan dan kemahiran boleh bekerja sebagai pembantu rumah.
Manakala kerajaan Malaysia juga perlu membuat penguatkuasaan dan pemeriksaan kerana kemungkinan kemasukan pembantu rumah secara haram. Ini kerana tidak semua majikan mampu untuk menggajikan pembantu rumah dengan gaji RM800 dan ini mendorong mereka mengambil secara haram. Selain dari itu, memberikan bantuan kewangan kepada majikan yang mempunyai lima orang anak ke atas bagi mengurangkan bebanan kewangan.
Sebenarnya Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada pembantu rumah dari Indonesia atau dari negara lain. Ini kerana keperluan pembantu rumah timbul kerana kadar yuran di tempat jagaan kanak-kanak dan rumah transit adalah tinggi. Bayangkan berapa banyak yuran yang perlu dibayar oleh sebuah keluarga mempunyai 5 orang anak jika dihantar ke pusat tersebut. Justeru, Kerajaan perlu menetapkan kadar yuran tersebut. Kerajaan juga mungkin boleh mewujudkan institusi yang membekalkan pembantu rumah rakyat Malaysia yang boleh bekerja secara harian. Setelah mengambil kira perkara diatas, gaji minimum bulanan RM600 bagi pembantu rumah Indonesia wajar dikekalkan.

Thursday, September 3, 2009

Ulangtahun Perkahwinan Ke 11

Sambutan Ulangtahun Perkahwinan ke 11 di Kampung Bangkahulu Gemas telah dihadiri lebih dari 200 orang tetamu...

Monday, August 31, 2009

Pulau Sipadan


Satu Taklimat mengenai Pulau Sipadan kepada YAB Ketua Menteri Sarawak telah diadakan mengenai pembinaan kemudahan asas untuk pelawat dan pelancong telah diadakan di Kota Kinabalu Sabah.

Rumah Api Tanjung Datu Malaysia




Friday, August 28, 2009

Joint Development Area (JDA) Malaysia and Thailand







Kedudukan Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara bukanlah satu keistimewaan tetapi membawa kepada pelbagai isu pertikaian wilayah dan sempadan maritim. Sejak merdeka lagi, Malaysia menghadapi pertikaian wilayah dengan Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Vietnam ke atasu pulau dan terumbu Malaysia yang dituntut berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979 yang diwartakan pada 25 Disember 1979. Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai sempadan maritim dengan hampir semua negara anggota ASEAN. Perspektif dan pandangan berbeza mengenai Konvensyen Undang-undang Laut PBB 1982 menyebabkan pertikaian semnpadan maritim sukar untuk diselesaikan melalui rundingan. Pertimbangan ekonomi sering digunakan untuk menyelesaikan sementara pertikaian yang wujud seperti pewujudan Kawasan Pembangunan Bersama (Joint Development Area) bagi mengeksploitasi sumebr hidupan dan bukan hidupan. Dalam kes Malaysia, JDA lebih merujuk kepada eksploitasi petroleum dan gas. JDA Malaysia dan Thailand yang dipersetujui pada 1979 merupakan penyelesaian sementara sempadan pelantar benua di Teluk Siam. Ia adalah bagi tempoh 50 tahun dan boleh dilanjutkan. Penulis sempat melawat JDA di Pelantar Minyak Cakrawala dengan menaiki helikopter selama 45 minit. Suatu pengalaman yang sukar dilupakan dan mencemaskan.



Pertikaian Pulau Batu Puteh : Konflik dan Penyelesaian


Keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 bahawa Singapura berhak keatas Pulau Batu Puteh sememangnya tidak diduga oleh rakyat Malaysia. Ini kerana Pulau Batu Puteh sejak abad ke 16 lagi merupakan sebahagian dari jajahan takluk Kesultanan Johor. Begitu juga dengan Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Pulau Batu Puteh yang hanya merupakan sebongkah batu besar yang tidak mempunyai apa-apa tumbuhan melainkan bangunan konkrit yang dibina oleh Singapura terletak 7.7 batu nautika dari pantai Johor. Ramai menyifatkan bahawa keputusan tersebut bermakna kekalahan dipihak Malaysia. Namun tidak ramai yang mengetahui apakah sebenarnya pertikaian tersebut? Kenapakah hanya Pulau Batu Puteh yang menjadi tumpuan? Penulis sempat menemubual Y. Bhg. Tan Sri Syed Hamid Albar, mantan Menteri Luar Negeri (1999-2008) bagi mendapatkan pandangan mengenai pertikaian Pulau Batu Puteh. Temubual tersebut merupakan sebahagian dari usaha mendapatkan sumber primer bagi menyiapkan Tesis Sarjana Analisis Strategi dan Keselamatan.

Friday, August 21, 2009

Isu Royalti Minyak Dari Pelantar Benua

Pandangan ini dikemukakan kepada YB Dato' Husam Musa

Akum, YB Dato'

Saya sempat membaca artikel Fakta tuntutan hak royalti Petroleum Kelantan dalam Blog YB. Saya ingin mengemukakan pandangan dari segi akademik.

1. Bahawa kerajaan Kelantan berhak untuk menuntut royalti dari Kerajaan dan dalam kes ini PETRONAS sekiranya terdapat perjanjian anatar Kerajaan/Petronas dengan Kerajaan Negeri yang masih lagi terpakai dan berkuatkuasa.

2. Bahawa Sistem Kerajaan Malaysia adalah berdasarkan Sistem Persekutuan dimana wujud Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Pembahagian kuasa adalah jelas dalam Perlembagaan Malaysia termasuk carigali minyak di lautan.

3. Bahawa terdapat beberapa perundangan negara yang berhubungkait dengan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Antaranya ialah Ordinan No. 7 Kuasa-Kuasa Perlu 1969 berhubung dengan laut wilayah, Kanun Tanah Negara, Akta Pembangunan Petroleum dan sebagainya. Bidang kuasa negeri terhad kepada 3 batu nautika dari pantai.

4. Bahawa berdasarkan Konvenyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS) dimana Malaysia telah meratifikasikannya pada 14 Oktober 1996, Malaysia berhak menuntut perairan laut wilayah (0-12 batu nautika), dan pelantar benua serta Zon ekonomi eksklusif sehingga 200 batu nautika. Kebanyakan sumber petroleum dan gas terletak di kawasan pelantar benua.

5. Bahawa walaupun kawasan JDA Malaysia-Thailand terletak berhadapan pantai Kelantan, ini tidak bermakna Kelantan mempunyai hak ke atas sebarang pengeluaran petroleum dan gas di situ. Kelantan dan negeri-negeri lain (kecuali Sabah dan Sarawak yang mempunyai perundangan berlainan) hanya mempunyai hak ke atas 3 batu nautika dari pantai. Sekiranya terdapat petroleum dan gas di dalam kawasan tersebut, kerajaan negeri mempunyai hak tertakluk dengan Akta Petroleum yang ada.

6. Kerajaan Kelantan berhak untuk menetapkan apa jua syarat ke atas sebarang projek pembangunan di daratan yang berhubung kait dengan proses penghantaran minyak dari JDA ke pantai termasuk syarat-syarat pemasangan paip dalam kawasan 3 batu nautika dari pantai.


Jika sesebuah negeri ingin mendapat hak sepenuhnya ke atas laut wilayah, pelantar benua dan zee dimana terletaknya sumber petroleum dan gas, ia perlu menjadi sebuah negara sendiri (mengistihar kemerdekaan dari Malaysia). Pertimbangan ini bukanlah merupakan pertimbangan yang wajar dan opsyen terbaik kerana banyak implikasinya.Masih banyak yang boleh di 'explore' untuk meningkatkan kewangan negeri.Terima kasih.

Tuesday, June 16, 2009

Third Bridge: Economic or Strategic Interest?

Pembinaan Jambatan Ketiga: Kepentingan Ekonomi dan Kepentingan Strategik Malaysia dan Singapura

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai cadangan pembinaan jambatan ke tiga di Timur Johor ketika lawatan rasmi beliau ke Singapura pada 18 dan 19 Mei baru-baru ini amat dialu-alukan oleh Singapura. Selain dari menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor di waktu puncak, pembinaan ini juga sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar Desaru dan Pengerang, Johor. Jika dilihat dari segi ekonomi, ia berupaya meningkatkan perhubungan jalanraya yang bukan sahaja meningkankan trafik keluar masuk orang tetapi juga barangan. Peningkatan ekonomi ini juga memberikan kesan sampingan kepada penduduk Johor dari segi peningkatan harga barang.

Pembinaan jambatan ketiga ini juga memberikan impak kepada kepentingan strategik khususnya kepada Singapura. Tim Huxley dalam bukunya yang mendapat perhatian ahli strategik iaitu ”Defending the Lion City: The armed Forces of Singapore,2000, yang membincangkan mengenai keupayaan pertahanan Singapura turut meramalkan serangan Singapura ke atas Malaysia bagi menjamin keselamatannya. Dengan kekuatan Angkatan Tentera Udara dan Darat ia mampu untuk menawan Johor dalam masa beberapa jam sahaja. Kemaraan Tentera Darat ini dimudahkan dengan wujudknya Tambak Johor dan Lingkaran Kedua yang membolehkan mobilasi kereta kebal dan sebagainya. Walau ia hanya merupakan senario semata-mata, namun dalam hubungan dua hala Malaysia dan Singapura yang turun dan naik ini, ianya tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Dengan pembinaan Jambatan Ketiga ini akan menjadikan serangan tersebut akan menjadi lebih singkat.

Pembinaan Jambatan Ketiga bukan sahaja membawa kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga kesan kepada keselamatan dan kepentingan strategik, alam sekitar marin khususnya Selat Johor yang amat sensitif, masalah sosial dan sebagainya. Kes penambakan laut oleh Singapura beberapa tahun lepas boleh dijadikan iktibar dalam memacu pembangunan di masa hadapan. Persoalannya adakah jambatan ini akan dibina dari Pulau Tekong yang ditambak?. Begitu juga kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2008. Apa pun, sesuatu yang baik itu boleh dilaksanakan sekiranya kita menghalusi sedalamnya dan mengambilkira pelbagai aspek dari segi kebaikan dan impaknya demi kepentingan rakyat Johor dan Malaysia bagi masa kini dan generasi di masa hadapan. Sesuatu persetujuan antara negara untuk membangunkan sesuatu projek bersama perlulah dilakukan berdasarkan perjanjian dengan terma-terma yang difahami dan boleh dilaksanakan oleh kedua-dua pihak. Ini bagi mengelakkan konflik dimasa hadapan seperti konflik Batu Puteh.

Wednesday, June 10, 2009

Mengimbas Jasa Bapa Pembangunan- Tun Razak




Jasa Perdana Menteri Tun Razak dalam pembangunan negara boleh disaksikan di Memorial Tun Abdul Razak. Tak ramai yang berminat kerana ia lebih berbentuk sejarah. Adalah diharapkan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengikut jejak langkah bapanya dalam membangunkan Malaysia keseluruhannya. Selain masyarakat Felda, masyarakat kampung juga tidak kurang pentingnya perlu diberikan perhatian.

Friday, June 5, 2009

Pertikaian Ambalat : Konflik dan Penyelesaian


Isu Pertikaian Di Laut Sulawesi Sebagai Kempen Pemilihan Presiden Indonesia

Sejak awal Jun 2009, calon wakil presiden Indonesia iaitu Prabowo Subianto telah menggunakan isu pertikaian kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi bagi meraih sokongan. Ia menyebut kawasan tersebut sebagai Ambalat. Akhbar Kompas pada 1 Jun 2009 memetik kenyataan beliau untuk menilai semula pertikaian di kawasan Ambalat dimana ianya berlaku disebabkan kekuatan Tentera Nasional Indonesia tidak ditakuti disebabkan peruntukan ketenteraan yang kurang bagi meningkatkan keupayaanya. Ia mengatakan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Indonesia tidak boleh dijual beli. Beliau mengatakan Indonesia sering diperlekehkan oleh negara jiran disebabkan ekonomi yang lemah yang secara tidak langsung menjejaskan sistem pertahanan negara. Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 2 Jun 2009 pula mengatakan bahawa isu kedaulatan Indonesia tidak boleh diberikan kompromi. Namun demikian ianya perlu diselesaikan tanpa melibatkan peperangan. Komentar oleh pembaca ke atas beberapa artikel mengenai pertikaian tersebut kebanyakannya menekankan perlunya mempertahankan wilayah tersebut dan ada yang menyatakan ‘ganyang’ Malaysia. Pandangan tersebut dilihat sebagai pandangan individu dan tidak semestinya mewakili pandangan Kerajaan Indonesia. Walau bagaimanapun, Akhbar Malaysia tidak menyentuh isu tersebut walaupun dalam kempen Pilihanraya yang lalu.


Malaysia dan Indonesia sering dianggap sebagai ‘ negara serumpun’ , ‘adik-beradik’ yang sering turun naik dalam isu hubungan dua hala. Ini meliputi isu persempadanan maritim, pendatang tanpa izin, pekerja Indonesia di Malaysia dan sebagainya. Konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia pada 1965 masih kekal dalam lipatan sejarah. Isu kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan yang menjadi isu sejak tahun 1969 telah diselesaikan melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2002. Walau bagaimanapun, ianya hanya menyelesaikan isu kedaulatan dan isu persempadanan maritim iaitu laut wilayah, pelantar benua dan zon ekonomi eksklusif masih belum diselesaikan selepas keputusan tersebut. Ini kerana Malaysia dan Indonesia hanya meminta ICJ untuk memutuskan hak kedaulatan kedua-dua pulau tersebut dan bukannya bersekali dengan persempadanan maritimnya. Adalah wajar kedua-dua negara dari awal memohon ICJ untuk memutuskan sempadan wilayahnya kerana pertikaian tersebut tidak melibatkan pihak ketiga.

Persempadanan maritim pada kebiasaanya diselesaikan melalui rundingan antara kedua-dua negara yang terlibat berdasarkan kepada perundangan antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1982 bagi mencapai kesaksamaan dalam persempadanan tersebut. Malaysia dan Indonesia merupakan negara ahli kepada KUUL 1982. Perlu dingat bahawa dalam konteks geografi, Malaysia merupakan negara berpantai yang hanya mempunyai hampir 1000 pulau dan terumbu karang berbanding Indonesia yang merupakan negara kepulauan dengan lebih 11,000 pulau dan terumbu karang. Malaysia dan Indonesia sebelum ini merupakan negara terawal dirantau ini yang memuktamadkan perjanjian pelantar benua di Selat Melaka dan Laut China Selatan pada 1969 dan perjanjian laut wilayah di Selat Melaka pada 1970. Rundingan perbatasan maritim ini boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat dan mungkin mengambil puluhan tahun untuk dimuktamadkan. Indonesia dan Vietnam umpamanya mengambil masa lebih 25 tahun untuk memuktamadkan sempadan pelantar benua di Kepulauan Natuna. Kerapkali rundingan tersebut tidak mencapai kata sepakat dan mungkin akan dikemukakan kepada pihak ketiga seperti ICJ untuk memutuskannya. Walau bagaimanapun, ianya memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak. Jika ia kekal sebagai status quo maka kedua negara akan mempertingkatkan tuntutan masing-masing dan kemungkinan berlakunya konflik di lapangan. Namun demikian, berdasarkan teori keamanan demokratik ( democratic peace theory), negara demokrasi seperti Malaysia dan Indonesia tidak akan berperang sesama sendiri.

Jika dilihat dalam isu tuntutan bertindih Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi, ianya perlu diselesaikan segera bagi membolehkan kedua-dua negara mendapat manfaat dalam mengeksploitasi sumber-sumber seperti perikanan, petroleum dan gas bagi pembangunan ekonomi negara. Dilaporkan bahawa kawasan tersebut mempunyai sumber perikanan dan petroleum/gas yang banyak. Rundingan perbatasan maritim perlulah dilaksanakan berdasarkan perundangan antarabangsa dan sekiranya ia tidak mencapai kata sepakat mungkin kedua-dua negara perlu meneliti untuk membawa kes ini kepada pihak ketiga. KUUL 1982 sebenarnya ada menggariskan bahawa jika persempadanan maritim masih belum dimuktamadkan, kedua-dua negara hanya boleh menuntut tidak lebih dari garis tengah yang diukur dari titik pangkal. Kedua-dua negara juga boleh mengadakan kerjasama untuk mengeksploitasi sumber di kawasan tersebut tanpa menjejaskan sempadan maritim yang akan dimuktamadkan kemudian. Malaysia dan Thailand telah mengambil pendekatan ini dengan mewujudkan Kawasan Pembangunan Bersama di Teluk Siam bagi mengeksploitasi petroleum dan gas. Keputusan untuk mengadakan kerjasama dilihat sebagai kesediaan negara-negara tersebut untuk berkompromi.

Sekiranya perbatasan maritim di Laut Sulawesi tidak diselesaikan,ianya sudah tentunya menjadi beban kepada generasi akan datang. Malaysia dan Indonesia sebagai negara yang berdaulat perlu meneruskan rundingan bagi mencapai kata sepakat atas dasar ‘menang-menang’ dan ianya perlulah diberikan keutamaan dalam kepimpinan baru Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia. Apatah lagi kedua-dua negara tersebut merupakan negara Islam yang mana konflik perlulah diselesaikan tanpa melibatkan pertumpahan darah.

Thursday, June 4, 2009

Penguatkuasaan Maritim Malaysia


Kaji kawalan maritim elak pembaziran (Utusan Malaysia 4 Jun 2009)


KEDUDUKAN Malaysia yang dikelilingi lautan memberikan kelebihan daripada segi perdagangan laut, sumber perikanan dan pelancongan marin.
Namun daripada sudut lain, negara ini juga berdepan dengan ancaman keselamatan maritim. Ia meliputi isu penyeludupan, pendatang tanpa izin, rompakan dan perlanunan serta pencerobohan nelayan asing dan sebagainya.
Jarak yang dekat dengan negara jiran memungkinkan aktiviti perlanggaran undang-undang lebih mudah dilakukan.
Jika wabak Influenza A H1N1 boleh 'membolosi' pintu masuk di lapangan terbang, perkara yang sama juga boleh berlaku di laut yang 'pintunya' ternyata lebih luas.
Pengawasan dan penguatkuasaan maritim negara di perairan yang luasnya dua kali ganda dari daratan kini dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin selain Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Jabatan Perikanan dan sebagainya.
Jika dilihat daripada segi jumlah jabatan atau agensi yang terlibat, sudah tentu akan timbul soal pertindihan tugas dan pembaziran aset. Ini kerana kemungkinan wujudnya pertindihan kawasan rondaan tidak dapat dielakkan.
APMM diberikan mandat untuk menjalankan rondaan dan penguatkuasaan di Zon Ekonomi Eksklusif dan Laut Wilayah Malaysia. TLDM pula menjalankan tugas utama utuk mempertahankan kedaulatan perairan di seluruh perairan Malaysia. Dalam pada itu, polis Marin juga menjalankan tugas penguatkuasaan di perairan laut wilayah negara ini.
Ia secara tidak langsung akan mewujudkan persaingan antara jabatan dan agensi dalam menonjolkan keupayaan masing-masing.
Jika dilihat daripada segi mekanisme penguatkuasaan maritim yang efektif, kewujudan satu agensi khusus adalah perlu bagi mengelakkan pertindihan tugas dan pembaziran aset.
Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, India dan Britain misalnya, telah diwujudkan satu agensi khusus iaitu Pasukan Pengawal Pantai atau lebih dikenali sebagai Coast Guard.
Di rantau Asia Tenggara, agensi yang serupa diwujudkan di Filipina dan Indonesia. Agensi ini akan melaksanakan semua fungsi pengawasan dan penguatkuasaan maritim selain usaha mencari dan menyelamat.
Adalah diharapkan satu kajian menyeluruh dilaksanakan ke atas mekanisme pengawasan dan penguatkuasaan maritim Malaysia bagi membolehkan ancaman keselamatan maritim dapat ditangani secara lebih efektif. Dalam masa yang sama ia tidak akan menyebabkan kerajaan kehilangan jutaan ringgit disebabkan pertindihan tugas dan pembaziran penggunaan aset. Walaupun penyelarasan antara agensi boleh dilaksanakan namun ia tidak menjamin komitmen semua pihak yang mempunyai kepentingan masing-masing.
Keutamaan kepada kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan jabatan jika kita mahukan hasil yang terbaik. Anjakan paradigma ini bagaimanapun memerlukan komitmen semua pihak.

Thursday, May 28, 2009

Penyelesaian Konflik Spratly

Utusan Malaysia (18 Mei 2009)

TINDAKAN China memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Spratly baru-baru ini timbul apabila Malaysia dan Vietnam secara bersama telah mengemukakan submission kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelantar benua lanjutan (extended continental shelf) melebihi 200 batu nautika berdasarkan kriteria saintifik di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (KUUL) 1982.
Ia sebenarnya bukannya merupakan tuntutan wilayah.
Pada amnya terdapat kawasan pelantar benua yang melebihi 200 batu nautika dari tuntutan semua negara melalui perundangan antarabangsa.
Dari segi sejarah, konflik di Kepulauan Spratly menjadi rumit apabila enam negara yang menuntut iaitu Brunei, Filipina, Malaysia, Taiwan, China dan Vietnam menduduki pulau, terumbu dan beting pasir yang sebahagian besar di luar dari 200 batu nautika dari pantai dengan menempatkan pasukan keselamatan masing-masing.
Kapal-kapal tentera laut masing-masing juga membuat pengawasan ke atas perairan tersebut dan sering berlakunya konflik antara pihak berkuasa dan juga nelayan yang menceroboh perairan tersebut.
Tuntutan mereka berdasarkan faktor sejarah, pendudukan secara fizikal dan berdasarkan perundangan antarabangsa.
Apakah sebenarnya konflik Spratly tidak dapat diselesaikan? Persoalan ini seakan-akan tiada jawapannya. Sebenarnya hampir semua pihak yang menuntut adalah ahli parti kepada KUUL 1982 kecuali Taiwan.
KUUL 1982 merupakan dokumen yang komprehensif mengenai pengurusan kelautan termasuklah peruntukan mengenai zon-zon maritim.
Walau bagaimanapun, interpretasi yang berbeza menyebabkan setiap negara mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing dan wujudlah tuntutan bertindih zon maritim seperti zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua serta tuntutan kedaulatan ke atas pulau, terumbu karang dan beting pasir yang dikatakan tidak ada pihak yang menuntut.
Ini ditambah dengan keperluan setiap negara untuk mempertahankan hak dan kedaulatan perairan mereka yang digariskan dalam Dasar Keselamatan Nasional mahupun Dasar Luar Negara masing-masing.
Negara-negara yang menuntut kebanyakannya masih mengekalkan fahaman realisme di mana mereka perlu mempertahankan hak kedaulatan negara.
Konflik Spratly adalah konflik kepentingan iaitu keinginan menguasai pulau, terumbu dan beting pasir dan perairannya yang kaya dengan sumber hidupan (ikan) dan bukan hidupan (minyak, gas, mineral) selain kepentingan strategik dan pertahanan berdasarkan Laut China Selatan merupakan laluan perkapalan dan kapal tentera laut yang menghubungkan Timur dan Barat.
Walaupun terdapat usaha untuk mengadakan rundingan dua hala dan pelbagai hala namun ia gagal. Melalui usaha ASEAN, Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan telah ditandatangani pada 2002 namun ia masih gagal untuk meredakan keadaan.
Konflik wujud disebabkan pertentangan pandangan atau pendirian antara individu, kumpulan mahu pun antara negara ke atas sesuatu perkara.
Sesuatu konflik antara negara boleh diselesaikan sama ada melalui rundingan atau penyelesaian melalui pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Malaysia dan Brunei baru-baru ini mengumumkan akan memuktamadkan perbatasan maritim di Laut China Selatan.
Malaysia, Singapura dan Indonesia telah merujuk kepada badan perundangan dunia tersebut dalam menyelesaikan tuntutan kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Batu Puteh. Adakah ini bermakna penyelesaian hanya boleh dicapai jika melibatkan negara-negara ASEAN sahaja?
Langkah menyelesaikan konflik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa tidak akan menjadi kenyataan kerana ia memerlukan persetujuan semua pihak yang menuntut.
Sekiranya ia dirujuk kepada ICJ maka ICJ perlu diberikan mandat untuk menentukan hak kedaulatan dan perbatasan maritim yang menyeluruh. Ini sudah tentu menjadi lebih rumit bila ia membicarakan kes yang melibatkan pelbagai pihak.
Dengan demikian penyelesaian melalui persetujuan politik mungkin lebih sesuai. Dalam hal ini, terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan bagi meredakan konflik seperti berikut:
l Negara-negara yang menuntut perlu menghormati, mematuhi dan melaksanakan sepenuhnya peruntukan-peruntukan berkaitan dengan zon maritim iaitu laut wilayah, zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua yang diukur dari garis pangkal maritim negara tersebut.
l Meneliti semua peruntukan-peruntukan di bawah Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan 2002 dari segi pematuhan kepada KUUL 1982 khususnya mengenai keperluan submission pelantar benua melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal (Tarikh akhir submission telah tamat pada 13 Mei 2009).
l Menghentikan semua pembinaan struktur dan pendudukan ke atas pulau dan terumbu yang baru.
l Meneruskan perbincangan informal dalam membincangkan isu- isu bersama di Laut China Selatan tanpa menjejaskan kedaulatan negara berdasarkan KUUL 1982.
Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam rundingan perbatasan maritim dan kes kedaulatan yang telah dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa boleh menerajui perbincangan ini.
HAMZAH ISHAK
Semenyih, Selangor

Ancaman PKM kepada Keselamatan Negara

Ideologi PKM masih jadi ancaman (Berita Harian-28 Mei 2009)

PARTI Komunis Malaya (PKM) menjadi ancaman kepada keselamatan negara sebelum dan selepas merdeka sehingga termeterai Perjanjian Damai 1989. Namun, apa yang heboh sekarang ini ialah ada usaha membawa pulang bekas pemimpin utama PKM, Chin Peng ke Malaysia. Adakah ini bermakna ancaman itu sudah tiada lagi? Adakah kita mudah lupa dengan serangan PKM ke atas Balai Polis Bukit Kepong menyebabkan ramai insan tidak berdosa terkorban? Adakah PKM layak dianggap sebagai 'pejuang' sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan politik? Dalam hal ini semua pihak meliputi rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan sebagainya perlu memahami apa yang dikatakan sebagai ancaman keselamatan negara dengan melihat kepada konsep keselamatan itu sendiri.

Pada amnya keselamatan ditakrifkan sebagai kebebasan daripada sebarang ancaman sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara. Ancaman itu boleh berbentuk fizikal seperti serangan bersenjata negara lain, kegiatan pengganas atau yang bukan berbentuk fizikal seperti ideologi, serangan politik, ekonomi dan sosial. Konsep keselamatan negara adalah konsep Barat dan diperkenalkan oleh Amerika Syarikat pada era selepas Perang Dunia Kedua yang lebih merujuk kepada ancaman dari luar iaitu Kesatuan Soviet. Ada beberapa sarjana memberikan takrifan mengenai konsep keselamatan negara. Antaranya adalah Trager and Simone (1973) yang mentafsirkan keselamatan sebagai usaha untuk mencapai nilai nasional merangkumi sistem politik, sosial dan asas fizikal tertubuhnya sesebuah negara.
Nilai nasional ini merujuk kepada kelangsungan hidup bagi memastikan kewujudan berterusan sesebuah negara dan masyarakat, bahasa, pembangunan sosial dan ekonomi, kemerdekaan politik dan integriti sempadan. Al Mashat (1985) pula mentafsirkan nilai nasional itu sebagai nilai teras yang harus dipertahankan. Nilai teras yang dimaksudkan di sini ialah nilai mendukung elemen asas kepada kewujudan sesebuah negara. Elemen diperlukan untuk kewujudan sesebuah negara terdiri daripada sempadan, pemerintah, masyarakat dan kedaulatan. Keutamaan kepada nilai teras ini sering berubah, tertakluk kepada dinamik isu atau peristiwa dilihat berpotensi menjadi ancaman kepada nilai teras itu dan jika ini berlaku, ia dianggap sebagai memberi ancaman kepada keselamatan negara. Keselamatan negara difahami sebagai negara terselamat daripada ancaman musuh yakni ancaman ketenteraan yang datangnya dari luar sempadan negara.
Bagi dunia sedang membangun seperti Malaysia, ancaman kepada negara datangnya dari dalam dan luar negara ke atas nilai teras iaitu perpaduan kaum, pembangunan ekonomi, kedaulatan dan keutuhan wilayah. Berdasarkan kepada konsep itu, ideologi PKM masih menjadi ancaman kerana ia boleh mengancam nilai teras negara iaitu kepada perpaduan kaum. Dalam era globalisasi ini, walaupun tidak wujud gerakan secara bersenjata, penggunaan kecanggihan teknologi dan komunikasi mampu untuk menghidupkan semula ideologi komunis khususnya penyebaran melalui laman web dan blog. Usaha membawa pulang Chin Peng jika tidak diambil perhatian serius mampu memberi ancaman kepada keselamatan negara. Dengan demikian Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih lagi relevan untuk membendung ancaman ini. Sekali silap membuat keputusan maka peristiwa hitam yang dilakukan oleh PKM akan berulang kembali. Ia perlu dicegah daripada awal. HAMZAH ISHAK, Semenyih.

Saturday, May 16, 2009

Kearah Penyelesaian Konflik Spratly

Tindakan China memberikan amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Spratly baru baru ini timbul apabila Malaysia dan Vietnam secara bersama telah mengemukakan submission kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pelantar benua lanjutan (extended continental shelf) melebihi 200 batu nautika berdasarkan kriteria saintifik di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (KUUL) 1982. Ia sebenarnya bukannya merupakan tuntutan wilayah. Pada amnya terdapat kawasan pelantar benua yang melebihi 200 batu nautika dari tuntutan semua negara melalui perundangan antarabangsa.
Dari segi sejarah, konflik di kepulauan Spratly menjadi rumit bila 6 negara yang menuntut iaitu Brunei, Filipina, Malaysia, Taiwan, China dan Vietnam menduduki pulau, terumbu dan beting pasir yang sebahagian besar di luar dari 200 batu nautika dari pantai dengan menempatkan pasukan keselamatannya. Kapal-kapal tentera laut masing-masing juga membuat pengawasan ke atas perairan tersebut dan sering berlakunya konflik antara pihak berkuasa dan juga nelayan yang menceroboh perairan tersebut. Tuntutan mereka berdasarkan faktor sejarah, pendudukan secara fizikal dan berdasarkan perundangan antarabangsa.
Apakah sebenarnya konflik Spratly tidak dapat diselesaikan? Persoalan ini seakan-akan tiada jawapannya. Sebenarnya hampir semua pihak yang menuntut adalah ahli parti kepada KUUL 1982 kecuali Taiwan. KUUL 1982 merupakan dokumen yang komprehensif mengenai pengurusan kelautan termasuklah peruntukan mengenai zon-zon maritim. Walau bagaimanapun, interpretasi yang berbeza menyebabkan setiap negara mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing dan wujudlah tuntutan bertindih zon maritim seperti zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua serta tuntutan kedaulatan ke atas pulau, terumbu karang dan beting pasir yang dikatakan tidak ada pihak yang menuntut. Ini ditambah dengan keperluan setiap negara untuk mempertahankan hak dan kedaulatan perairan mereka yang digariskan dalam Dasar Keselamatan Nasional mahupun Dasar Luar Negara masing-masing. Negara-negara yang menuntut kebanyakannya masih mengekalkan fahaman realisme dimana mereka perlu mempertahankan hak kedaulatan negara. Konflik Spratly adalah konflik kepentingan iaitu keinginan menguasai pulau, terumbu dan beting pasir dan perairanya yang kaya dengan sumber hidupan (ikan) dan bukan hidupan (minyak, gas, mineral) selain kepentingan strategik dan pertahanan berdasarkan Laut China Selatan merupakan laluan perkapalan dan kapal tentera laut yang menghubungkan Timur dan Barat.
Walaupun terdapat usaha untuk mengadakan rundingan dua hala dan pelbagai hala namun ia gagal. Melalui usaha ASEAN, Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan telah ditandatangani pada 2002 namun ia masih gagal untuk meredakan keadaan.
Konflik wujud disebabkan pertentangan pandangan atau pendirian antara individu, kumpulan mahupun antara negara ke atas sesuatu perkara. Sesuatu konflik antara negara boleh diselesaikan samada melalui rundingan atau penyelesaian melalui pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Malaysia dan Brunei baru-baru ini mengumumkan akan memuktamadkan perbatasan maritim di Laut China Selatan. Malaysia, Singapura dan Indonesia pula telah merujuk kepada badan perundangan dunia tersebut dalam menyelesaikan tuntutan kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Batu Puteh. Adakah ini bermakna penyelesaian hanya boleh dicapai jika melibatkan negara-negara ASEAN sahaja? Langkah menyelesaikan konflik di Mahkamah Keadilan Antarabangsa tidak akan menjadi kenyataan kerana ianya memerlukan persetujuan semua pihak yang menuntut. Sekiranya ia dirujuk kepada ICJ maka ICJ perlu diberikan mandat untuk menentukan hak kedaulatan dan perbatasan maritim yang menyeluruh. Ini sudah tentu menjadi lebih rumit dan mencatakan sejarah badan dunia tersebut bila ia membicarakan kes yang melibatkan pelbagai pihak. Dengan demikian penyelesaian melalui persetujuan politik mungkin lebih sesuai. Dalam hal ini, terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan bagi meredakan konflik seperti berikut:
1. Negara-negara yang menuntut perlu menghormati, mematuhi dan melaksanakan sepenuhnya peruntukan-peruntukan berkaitan dengan zon maritim iaitu laut wilayah, zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua yang diukur dari garis pangkal maritim negara tersebut.
2. Meneliti semua peruntukan-peruntukan di bawah Deklarasi Kod Tatalaku Negara di Laut China Selatan 2002 dari segi pematuhan kepada KUUL 1982 khususnya mengenai keperluan submission pelantar benua melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal (Tarikh akhir submission telah tamat pada 13 Mei 2009)
3. Menghentikan semua pembinaan struktur dan pendudukan ke atas pulau dan terumbu yang baru.
4. Meneruskan perbincangan informal dalam membincangkan isu-isu bersama di Laut China Selatan tanpa menjejaskan kedaulatan negara berdasarkan KUUL 1982. Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam rundingan perbatasan maritim dan kes kedaulatan yang telah dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa boleh menerajui perbincangan in.

Friday, April 17, 2009

Konflik di Demokratik Republik Congo

Republik Demokratik Congo (DRC) masih dikancah konflik sejak merdeka dari Belgium pada 30 Jun 1960. Ini menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menghantar Pasukan Pengaman bagi kali kedua pada 2000. Konflik yang intractable ini melibatkan krisis politik, rampasan kuasa, pemberontakan kumpulan bersenjata, penglibatan Rwanda dan Uganda yang menyokong kumpulan pemberontakan tersebut, pengekspolitasian sumber mineral dan konflik antara etnik. Namibia, Angola dan Zimbabwe telah terlibat dalam konflik tersebut. Konflik ini telah menyebabkan kematian 5.4 juta orang, ratusan ribuan menjadi pelarian dan pelbagai isu kemanusiaan lagi. Ia bukan sahaja mengancam keselamatan dan kedaulatan DRC tetapi juga kepada Afrika keseluruhannya.
DRC hanya menguasai bahagian Barat manakala Timur DRC dibawah kumpulan pemberontakan Rally for Congolese Democracy (RCD) dan Congolese Liberation Movement (MLC). Presiden Laurent Kabila sejak 17 Mei 1997 dan kini Presiden Joseph Kabila telah berusaha untuk mencapai perdamaian. Ini membawa kepada Perjanjian Gencatan Senjata Lusaka pada 10 Julai 1999. Walau bagaimanapun, perjanjian ini masih belum dilaksanakan sepenuhnya walaupun Rwanda dan Uganda telah mengundurkan tenteranya dari wilayah DRC. Walaupun konflik dikatakan tamat pada 2003, RCD dan MLC masih lagi meneruskan kempen serangannya di North Kivu, Timur DRC.
Konflik ini juga telah menarik perhatian Organization Africa Union (OAU) dan Southern African Development Community (SADC) serta Amerika, Perancis dan China. Semua pihak mempunyai peranan dalam memastikan konflik ini dapat diselesaikan dan rakyat DRC menikmati keamanan yang berkekalan. Ia bukan dapat dilaksanakan dalam sekelip mata tetapi perlu dilaksanakan berdasarkan proses-proses yang dipersetujui oleh semua pihak. Kajian ini akan memberikan tumpuan kepada konflik selepas Laurent Kabila menjadi Presiden DRC mulai 17 Mei 1997 sehingga kini.

Pengedaran Dadah Haram di Rantau Amerika Selatan

Selepas berakhirnya Perang Dingin, ancaman kselamatan negara bukan lagi ancaman ketenteraan tetapi ancaman dari aktor bukan negara seperti jenayah terancang rentas sempadan. Ia meliputi penyeludupan manusia, pengedaran dadah haram, pengubahan wang haram, pelanunan, penyeludupan senjata dan sebagainya. Aktiviti pengedaran dadah merupakan aktiviti yang mempunyai kaitan hampir dengan semua aktiviti jenayah antarabangsa tersebut. Sebelum ini ia merupakan aktiviti yang wujud dalam sesebuah negara sahaja dan kini telah bergiat aktif di negara lain. Aktiviti pengedaran dadah haram meliputi penanaman, pengedaran dan penggunaan dadah yang melibatkan heroin, kokain, kanabis, marijuana dan dadah sintetik amphetamine-type stimulants (ATS). Golden Cresent di Asia Selatan (Pakistan, Iran dan Afghanistan) dan Golden Triangle (Myanmar, Thailand dan Laos) di Asia Tenggara merupakan kawasan penanaman utama popi bagi heroin manakala Andean Triangle di Amerika Selatan (Colombia, Peru dan Bolivia) bagi penanaman koka untuk kokain.

Proses globalisasi yang semakin meningkat sejak 1990an bukan sahaja memberikan kebaikan kepada negara tetapi juga memberikan kesan negatif. Aktor-aktor bukan negara seperti kumpulan pengedar dadah, pengganas dan jenayah terancang telah mengambil peluang dari sistem pasaran perdagangan bebas, pengurangan pemeriksaan sempadan, revolusi kecanggihan sistem komunikasi dan teknologi maklumat, kemudahan sistem kewangan dan sistem perbankan elektronik serta peningkatan kemudahan pengangkutan dalam meningkatkan aktiviti mereka seluruh dunia. Ini menyebabkan negara-negara sukar untuk menangani ancaman dari aktor bukan negara ini kerana ianya bersifat rentas sempadan dan bukan mewakili negara.

Aktiviti pengedaran dadah haram ini bukan sahaja memberikan ancaman kepada sesebuah negara dari segi keselamatan dan kestabilan politik tetapi juga ancaman keselamatan serantau dan kini keselamatan insan. Ini kerana aktiviti pengedaran dadah haram ini bukan sahaja dilakukan oleh Kartel dadah tempatan tetapi juga melibatkan kumpulan jenayah terancang, kumpulan pemberontakan bersenjata dan kumpulan pengganas antarabangsa. Aktiviti ini menjanjikan sumber kewangan bagi kumpulan tersebut dengan risiko yang rendah khususnya jika dilaksanakan di negara-negara yang dikatakan negara yang lemah.

Isu Keselamatan Maritim Asia Pasifik

Hampir semua negara di rantau Asia Pasifik merupakan negara berpantai dan mempunyai sempadan maritim antara satu sama lain. Hanya Laos dan Mongolia yang merupakan negara tiada pantai (landlocked states). Laut memainkan peranan penting kepada rantau ini dari segi ekonomi perdagangan, pengangkutan, sumber perikanan, petroleum dan gas, pelancongan. jalur komunikasi dan pertahanan. Selat Melaka dan Selat Singapura merupakan jalur komunikasi antarabangsa yang penting di rantau Asia Pasifik yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut Pasifik selain dari Selat Lombok dan Selat Sunda seperti Peta di Lampiran A.[1] Dianggarkan 50% perdagangan dunia dan 2/3 bekalan tenaga global melalui kedua-dua selat tersebut. 80% minyak mentah Jepun dari Timur Tengah juga melaluinya. Dianggarkan sebanyak 60,000 buah kapal melalui selat ini setiap tahun.[2] Selat tersebut bukan sahaja penting kepada negara-negara di rantau Asia Pasifik tetapi juga negara yang mempunyai kepentingan maritim seperti Amerika Syarikat.

Kepentingan ini memerlukan jaminan keselamatan maritim ke atas laluan perkapalan antarabangsa di selat tersebut dari ancaman pelanunan, rompakan dan keganasan, nelayan bebas menjalankan aktiviti menangkap ikan manakala pelantar-pelantar minyak di tengah lautan bebas dari ancaman pengganas. Gangguan ke atas keselamatan Selat Melaka dan Selat Singapura bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi serantau tetapi juga ekonomi global. Keselamatan maritim dilihat sama penting dengan isu keselamatan terrestrial di rantau Asia Pasifik seperti konflik nuklear Semenanjung Korea, konflik India-Pakistan, konflik Kashmir, isu Selat Taiwan, ancaman pengganas[3] dan kini keselamatan insan (human security).[4] Isu keselamatan maritim di rantau Asia Pasifik hangat dibincangkan sejak serangan pengganas pada 11 September 2001 (9/11) dimana pengganas dikatakan akan melakukan serangan keatas laluan perkapalan strategik dunia seperti Selat Melaka dan Selat Singapura.[5]
[1] Joshua Ho, 2005, The Security of Regional Sea Lanes, Singapura, Institute of Defence and Strategic Studies, hlm. 2
[2] Tibor Kovacs, 2005, Maritime Security in the Straits of Malacca: Risk and Responses, Madrid
[3] Isu-isu keselamatan di rantau Asia Pasifik dibincangkan dalam ASEAN Regional Forum, 2008, Annual Security Outlook, Singapore, 24 Julai.
[4] Mohamed Jawhar Hassan, Security Outlook for the Asia Pacific Region, http://www.isis.org.my/files/bfpss/Security%20Outlook%20in%20the%20Asia%20Pacific%20Region.pdf [10 Mac 2009]
[5] Sam Bateman, 2006, Assessing the Threat of Maritime Terrorism: Issues for the Asia-Pacific Region Security Challenges, Volume 2 Number 3 (October 2006), hlm.78

Cabaran Pengurusan Sempadan Malaysia

CABARAN PENGURUSAN KESELAMATAN SEMPADAN

1. PENDAHULUAN

Konsep keselamatan negara merupakan konsep yang diperkenalkan negara Barat dan merujuk kepada Amerika Syarikat pada era selepas Perang Dunia ke 2[1]. Dalam hal ini, terdapat beberapa sarjana yang memberikan takrifan mengenai konsep keselamatan negara. Trager and Simone (1973) telah menginterpretasikan keselamatan negara sebagai usaha untuk mencapai nilai-nilai nasional (national values) yang merangkumi sistem politik, sosial dan asas fizikal terbentuknya sesebuah negara. Nilai-nilai nasional ini merujuk kepada kelangsungan hidup (survival) bagi memastikan kewujudan yang berterusan sesebuah negara dan masyarakat, bahasa, pembangunan sosial dan ekonomi, kemerdekan politik dan integriti sempadan.[2]
[1] Edward E. Azar and Chung In Moon, 1998, Rethinking Third World National Security, National Security in the Third World, Edward E.Azar and Chung in Moon (pnyt), Aldershot, Edward Elgar Publishing Limited. hlm. 1
[2] F. N. Trager & F. L. Simone, An Introduction to the Study of National Security, F. N. Trager & P. Kronenberg (pnyt), National Security and American Society, University Press of Kansas, Lawrence, 1973, p. 36......................................................................

Lawatan ke Central Market




Kali terakhir menjejak kaki ke Central Market atau CM ni lebih kurang 10 tahun lepas. Itupun masa kat UM dulu.Banyak perubahan di dalamnya yang meriah dengan pelbagai gerai kraftangan. Melawat CM boleh dikatakan melawat Malaysia kerana semua kraftangan ada di sana. Walaubagaimanapun, parking kereta tak banyak kerana ruang yang terhad. Mungkin kena guna public transport.