Monday, September 7, 2009

Penetapan Gaji Minimum Bulanan Pembantu Rumah Indonesia

Saya sebagai majikan yang menggajikan pembantu rumah Indonesia sejak 2000 tidak setuju sama sekali dengan pemintaan kerajaan Indonesia bagi gaji minimum RM800 sebulan. Penetapan tersebut hanya memberikan keuntungan kepada sebelah pihak iaitu pembantu rumah dan bukannya kedua-dua pihak. Dalam mana-mana proses rundingan, prinsip sama-sama untung adalah teras kepada persetujuan. Perlu dingat, tidak ada sejarah dalam dunia gaji bulanan ditentukan oleh pekerja. Semua gaji dan kelayakan bekerja ditentukan oleh majikan baik di Malaysia maupun Indonesia. Isu gaji pembantu rumah sebenarnya telah dijadikan ’alat tawar-menawar’ dalam situasi dimana wujudnya pelbagai isu dua hala antara Malaysia dan Indonesia bermula konfrontasi 1962 sehinggalah isu Tarian Pandet. Malaysia tidak perlu tunduk dengan pemintaan tersebut dan kedua-dua pihak perlu mencari jalan penyelesaian. Jika tidak, hentikan sahaja pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dan cari alternatif lain.
Gaji minimum bulanan pada masa kini sekitar RM600 (baru dinaikkan oleh Indonesia) wajar dikekalkan. Pada tahun 2000, gaji minimum yang dibayar adalah RM400. Gaji RM600 adalah setimpal kerana ia adalah gaji bersih dan bukannya dipotong dari segi tempat tinggal, makan dan minum, tambang pergi dan balik, kemudahan air dan elektrik dan semua kos bagi pengambilan pembantu rumah. Pekerja Malaysia sendiri yang bekerja di sektor kerajaan atau swasta perlu menanggung kos penginapan, makan dan minum, kemudahan air dan elektrik. Jika dibandingkan dengan pembantu rumah Indonesia yang bekerja sendiri di majikan mereka di Indonesia, gaji pembantu rumah Indonesia di Malaysia boleh diibaratkan sebagai ’jutawan’. Inilah dikatakan Malaysia sebagai ’lubuk emas’ tidak kira mereka yang datang bekerja secara halal atau haram sehinggalah yang datang untuk melakukan jenayah.
Jika gaji minimum bulanan RM800 dipersetujui, maka pembantu rumah perlu mempunyai kelayakan dan kemahiran seperti berikut:
· Perlu mempunyai tahap pendidikan setaraf Sijil Pelajaran Malaysia dan lulus ujian kecekapan Bahasa Malaysia. Ini kerana rata-rata pembantu rumah Indonesia adalah mereka yang berpendidikan rendah, kurang pemahaman, kurang cerdik dan tidak faham Bahasa Malaysia.
· Perlu mempunyai Sijil Kelayakan Pembantu Rumah. Ini kerana terdapat pembantu rumah yang tidak tahu untuk melakukan kerja rumah. Kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu mewujudkan satu mekanisma dimana calon pembantu rumah perlu mengikuti kursus intensif selama 3-6 bulan bagi memahami budaya, jenis pekerjaan dan sebagainya. Sijil tersebut pula perlu diiktiraf oleh Malaysia.
· Perlu menanggung semua kos pengambilan (RM5000),kos Levi (RM445) dan Pemeriksaan Perubatan Fomema (RM190).
· Perlu membayar sewa bilik (RM150 sebulan), makan dan minum (RM100), air dan elektrik (RM50.00).
· Perlu membayar wang deposit bekerja (RM1000). Ini kerana terdapat pembantu rumah yang lari dan ada yang mencuri harta majikan. Wang tersebut akan dipulangkan setelah tamat kontrak.
Majikan juga bertanggungjawab dengan menyenaraikan tugas dan kerja yang perlu dilaksanakan, memberikan cuti sehari seminggu dan menanggung tambang pergi dan balik sekali dalam tempoh kontrak. Kerajaan Indonesia juga perlu mewujudkan tempat penginapan bagi pembantu rumah yang bercuti ini dan memastikan hanya pembantu rumah yang mempunyai kelayakan dan kemahiran boleh bekerja sebagai pembantu rumah.
Manakala kerajaan Malaysia juga perlu membuat penguatkuasaan dan pemeriksaan kerana kemungkinan kemasukan pembantu rumah secara haram. Ini kerana tidak semua majikan mampu untuk menggajikan pembantu rumah dengan gaji RM800 dan ini mendorong mereka mengambil secara haram. Selain dari itu, memberikan bantuan kewangan kepada majikan yang mempunyai lima orang anak ke atas bagi mengurangkan bebanan kewangan.
Sebenarnya Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada pembantu rumah dari Indonesia atau dari negara lain. Ini kerana keperluan pembantu rumah timbul kerana kadar yuran di tempat jagaan kanak-kanak dan rumah transit adalah tinggi. Bayangkan berapa banyak yuran yang perlu dibayar oleh sebuah keluarga mempunyai 5 orang anak jika dihantar ke pusat tersebut. Justeru, Kerajaan perlu menetapkan kadar yuran tersebut. Kerajaan juga mungkin boleh mewujudkan institusi yang membekalkan pembantu rumah rakyat Malaysia yang boleh bekerja secara harian. Setelah mengambil kira perkara diatas, gaji minimum bulanan RM600 bagi pembantu rumah Indonesia wajar dikekalkan.

No comments: