Tuesday, June 16, 2009

Third Bridge: Economic or Strategic Interest?

Pembinaan Jambatan Ketiga: Kepentingan Ekonomi dan Kepentingan Strategik Malaysia dan Singapura

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai cadangan pembinaan jambatan ke tiga di Timur Johor ketika lawatan rasmi beliau ke Singapura pada 18 dan 19 Mei baru-baru ini amat dialu-alukan oleh Singapura. Selain dari menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor di waktu puncak, pembinaan ini juga sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar Desaru dan Pengerang, Johor. Jika dilihat dari segi ekonomi, ia berupaya meningkatkan perhubungan jalanraya yang bukan sahaja meningkankan trafik keluar masuk orang tetapi juga barangan. Peningkatan ekonomi ini juga memberikan kesan sampingan kepada penduduk Johor dari segi peningkatan harga barang.

Pembinaan jambatan ketiga ini juga memberikan impak kepada kepentingan strategik khususnya kepada Singapura. Tim Huxley dalam bukunya yang mendapat perhatian ahli strategik iaitu ”Defending the Lion City: The armed Forces of Singapore,2000, yang membincangkan mengenai keupayaan pertahanan Singapura turut meramalkan serangan Singapura ke atas Malaysia bagi menjamin keselamatannya. Dengan kekuatan Angkatan Tentera Udara dan Darat ia mampu untuk menawan Johor dalam masa beberapa jam sahaja. Kemaraan Tentera Darat ini dimudahkan dengan wujudknya Tambak Johor dan Lingkaran Kedua yang membolehkan mobilasi kereta kebal dan sebagainya. Walau ia hanya merupakan senario semata-mata, namun dalam hubungan dua hala Malaysia dan Singapura yang turun dan naik ini, ianya tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Dengan pembinaan Jambatan Ketiga ini akan menjadikan serangan tersebut akan menjadi lebih singkat.

Pembinaan Jambatan Ketiga bukan sahaja membawa kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga kesan kepada keselamatan dan kepentingan strategik, alam sekitar marin khususnya Selat Johor yang amat sensitif, masalah sosial dan sebagainya. Kes penambakan laut oleh Singapura beberapa tahun lepas boleh dijadikan iktibar dalam memacu pembangunan di masa hadapan. Persoalannya adakah jambatan ini akan dibina dari Pulau Tekong yang ditambak?. Begitu juga kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2008. Apa pun, sesuatu yang baik itu boleh dilaksanakan sekiranya kita menghalusi sedalamnya dan mengambilkira pelbagai aspek dari segi kebaikan dan impaknya demi kepentingan rakyat Johor dan Malaysia bagi masa kini dan generasi di masa hadapan. Sesuatu persetujuan antara negara untuk membangunkan sesuatu projek bersama perlulah dilakukan berdasarkan perjanjian dengan terma-terma yang difahami dan boleh dilaksanakan oleh kedua-dua pihak. Ini bagi mengelakkan konflik dimasa hadapan seperti konflik Batu Puteh.

Wednesday, June 10, 2009

Mengimbas Jasa Bapa Pembangunan- Tun Razak




Jasa Perdana Menteri Tun Razak dalam pembangunan negara boleh disaksikan di Memorial Tun Abdul Razak. Tak ramai yang berminat kerana ia lebih berbentuk sejarah. Adalah diharapkan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengikut jejak langkah bapanya dalam membangunkan Malaysia keseluruhannya. Selain masyarakat Felda, masyarakat kampung juga tidak kurang pentingnya perlu diberikan perhatian.

Friday, June 5, 2009

Pertikaian Ambalat : Konflik dan Penyelesaian


Isu Pertikaian Di Laut Sulawesi Sebagai Kempen Pemilihan Presiden Indonesia

Sejak awal Jun 2009, calon wakil presiden Indonesia iaitu Prabowo Subianto telah menggunakan isu pertikaian kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi bagi meraih sokongan. Ia menyebut kawasan tersebut sebagai Ambalat. Akhbar Kompas pada 1 Jun 2009 memetik kenyataan beliau untuk menilai semula pertikaian di kawasan Ambalat dimana ianya berlaku disebabkan kekuatan Tentera Nasional Indonesia tidak ditakuti disebabkan peruntukan ketenteraan yang kurang bagi meningkatkan keupayaanya. Ia mengatakan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Indonesia tidak boleh dijual beli. Beliau mengatakan Indonesia sering diperlekehkan oleh negara jiran disebabkan ekonomi yang lemah yang secara tidak langsung menjejaskan sistem pertahanan negara. Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 2 Jun 2009 pula mengatakan bahawa isu kedaulatan Indonesia tidak boleh diberikan kompromi. Namun demikian ianya perlu diselesaikan tanpa melibatkan peperangan. Komentar oleh pembaca ke atas beberapa artikel mengenai pertikaian tersebut kebanyakannya menekankan perlunya mempertahankan wilayah tersebut dan ada yang menyatakan ‘ganyang’ Malaysia. Pandangan tersebut dilihat sebagai pandangan individu dan tidak semestinya mewakili pandangan Kerajaan Indonesia. Walau bagaimanapun, Akhbar Malaysia tidak menyentuh isu tersebut walaupun dalam kempen Pilihanraya yang lalu.


Malaysia dan Indonesia sering dianggap sebagai ‘ negara serumpun’ , ‘adik-beradik’ yang sering turun naik dalam isu hubungan dua hala. Ini meliputi isu persempadanan maritim, pendatang tanpa izin, pekerja Indonesia di Malaysia dan sebagainya. Konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia pada 1965 masih kekal dalam lipatan sejarah. Isu kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan yang menjadi isu sejak tahun 1969 telah diselesaikan melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2002. Walau bagaimanapun, ianya hanya menyelesaikan isu kedaulatan dan isu persempadanan maritim iaitu laut wilayah, pelantar benua dan zon ekonomi eksklusif masih belum diselesaikan selepas keputusan tersebut. Ini kerana Malaysia dan Indonesia hanya meminta ICJ untuk memutuskan hak kedaulatan kedua-dua pulau tersebut dan bukannya bersekali dengan persempadanan maritimnya. Adalah wajar kedua-dua negara dari awal memohon ICJ untuk memutuskan sempadan wilayahnya kerana pertikaian tersebut tidak melibatkan pihak ketiga.

Persempadanan maritim pada kebiasaanya diselesaikan melalui rundingan antara kedua-dua negara yang terlibat berdasarkan kepada perundangan antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1982 bagi mencapai kesaksamaan dalam persempadanan tersebut. Malaysia dan Indonesia merupakan negara ahli kepada KUUL 1982. Perlu dingat bahawa dalam konteks geografi, Malaysia merupakan negara berpantai yang hanya mempunyai hampir 1000 pulau dan terumbu karang berbanding Indonesia yang merupakan negara kepulauan dengan lebih 11,000 pulau dan terumbu karang. Malaysia dan Indonesia sebelum ini merupakan negara terawal dirantau ini yang memuktamadkan perjanjian pelantar benua di Selat Melaka dan Laut China Selatan pada 1969 dan perjanjian laut wilayah di Selat Melaka pada 1970. Rundingan perbatasan maritim ini boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat dan mungkin mengambil puluhan tahun untuk dimuktamadkan. Indonesia dan Vietnam umpamanya mengambil masa lebih 25 tahun untuk memuktamadkan sempadan pelantar benua di Kepulauan Natuna. Kerapkali rundingan tersebut tidak mencapai kata sepakat dan mungkin akan dikemukakan kepada pihak ketiga seperti ICJ untuk memutuskannya. Walau bagaimanapun, ianya memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak. Jika ia kekal sebagai status quo maka kedua negara akan mempertingkatkan tuntutan masing-masing dan kemungkinan berlakunya konflik di lapangan. Namun demikian, berdasarkan teori keamanan demokratik ( democratic peace theory), negara demokrasi seperti Malaysia dan Indonesia tidak akan berperang sesama sendiri.

Jika dilihat dalam isu tuntutan bertindih Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi, ianya perlu diselesaikan segera bagi membolehkan kedua-dua negara mendapat manfaat dalam mengeksploitasi sumber-sumber seperti perikanan, petroleum dan gas bagi pembangunan ekonomi negara. Dilaporkan bahawa kawasan tersebut mempunyai sumber perikanan dan petroleum/gas yang banyak. Rundingan perbatasan maritim perlulah dilaksanakan berdasarkan perundangan antarabangsa dan sekiranya ia tidak mencapai kata sepakat mungkin kedua-dua negara perlu meneliti untuk membawa kes ini kepada pihak ketiga. KUUL 1982 sebenarnya ada menggariskan bahawa jika persempadanan maritim masih belum dimuktamadkan, kedua-dua negara hanya boleh menuntut tidak lebih dari garis tengah yang diukur dari titik pangkal. Kedua-dua negara juga boleh mengadakan kerjasama untuk mengeksploitasi sumber di kawasan tersebut tanpa menjejaskan sempadan maritim yang akan dimuktamadkan kemudian. Malaysia dan Thailand telah mengambil pendekatan ini dengan mewujudkan Kawasan Pembangunan Bersama di Teluk Siam bagi mengeksploitasi petroleum dan gas. Keputusan untuk mengadakan kerjasama dilihat sebagai kesediaan negara-negara tersebut untuk berkompromi.

Sekiranya perbatasan maritim di Laut Sulawesi tidak diselesaikan,ianya sudah tentunya menjadi beban kepada generasi akan datang. Malaysia dan Indonesia sebagai negara yang berdaulat perlu meneruskan rundingan bagi mencapai kata sepakat atas dasar ‘menang-menang’ dan ianya perlulah diberikan keutamaan dalam kepimpinan baru Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia. Apatah lagi kedua-dua negara tersebut merupakan negara Islam yang mana konflik perlulah diselesaikan tanpa melibatkan pertumpahan darah.

Thursday, June 4, 2009

Penguatkuasaan Maritim Malaysia


Kaji kawalan maritim elak pembaziran (Utusan Malaysia 4 Jun 2009)


KEDUDUKAN Malaysia yang dikelilingi lautan memberikan kelebihan daripada segi perdagangan laut, sumber perikanan dan pelancongan marin.
Namun daripada sudut lain, negara ini juga berdepan dengan ancaman keselamatan maritim. Ia meliputi isu penyeludupan, pendatang tanpa izin, rompakan dan perlanunan serta pencerobohan nelayan asing dan sebagainya.
Jarak yang dekat dengan negara jiran memungkinkan aktiviti perlanggaran undang-undang lebih mudah dilakukan.
Jika wabak Influenza A H1N1 boleh 'membolosi' pintu masuk di lapangan terbang, perkara yang sama juga boleh berlaku di laut yang 'pintunya' ternyata lebih luas.
Pengawasan dan penguatkuasaan maritim negara di perairan yang luasnya dua kali ganda dari daratan kini dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin selain Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Jabatan Perikanan dan sebagainya.
Jika dilihat daripada segi jumlah jabatan atau agensi yang terlibat, sudah tentu akan timbul soal pertindihan tugas dan pembaziran aset. Ini kerana kemungkinan wujudnya pertindihan kawasan rondaan tidak dapat dielakkan.
APMM diberikan mandat untuk menjalankan rondaan dan penguatkuasaan di Zon Ekonomi Eksklusif dan Laut Wilayah Malaysia. TLDM pula menjalankan tugas utama utuk mempertahankan kedaulatan perairan di seluruh perairan Malaysia. Dalam pada itu, polis Marin juga menjalankan tugas penguatkuasaan di perairan laut wilayah negara ini.
Ia secara tidak langsung akan mewujudkan persaingan antara jabatan dan agensi dalam menonjolkan keupayaan masing-masing.
Jika dilihat daripada segi mekanisme penguatkuasaan maritim yang efektif, kewujudan satu agensi khusus adalah perlu bagi mengelakkan pertindihan tugas dan pembaziran aset.
Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, India dan Britain misalnya, telah diwujudkan satu agensi khusus iaitu Pasukan Pengawal Pantai atau lebih dikenali sebagai Coast Guard.
Di rantau Asia Tenggara, agensi yang serupa diwujudkan di Filipina dan Indonesia. Agensi ini akan melaksanakan semua fungsi pengawasan dan penguatkuasaan maritim selain usaha mencari dan menyelamat.
Adalah diharapkan satu kajian menyeluruh dilaksanakan ke atas mekanisme pengawasan dan penguatkuasaan maritim Malaysia bagi membolehkan ancaman keselamatan maritim dapat ditangani secara lebih efektif. Dalam masa yang sama ia tidak akan menyebabkan kerajaan kehilangan jutaan ringgit disebabkan pertindihan tugas dan pembaziran penggunaan aset. Walaupun penyelarasan antara agensi boleh dilaksanakan namun ia tidak menjamin komitmen semua pihak yang mempunyai kepentingan masing-masing.
Keutamaan kepada kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan jabatan jika kita mahukan hasil yang terbaik. Anjakan paradigma ini bagaimanapun memerlukan komitmen semua pihak.