Thursday, June 4, 2009

Penguatkuasaan Maritim Malaysia


Kaji kawalan maritim elak pembaziran (Utusan Malaysia 4 Jun 2009)


KEDUDUKAN Malaysia yang dikelilingi lautan memberikan kelebihan daripada segi perdagangan laut, sumber perikanan dan pelancongan marin.
Namun daripada sudut lain, negara ini juga berdepan dengan ancaman keselamatan maritim. Ia meliputi isu penyeludupan, pendatang tanpa izin, rompakan dan perlanunan serta pencerobohan nelayan asing dan sebagainya.
Jarak yang dekat dengan negara jiran memungkinkan aktiviti perlanggaran undang-undang lebih mudah dilakukan.
Jika wabak Influenza A H1N1 boleh 'membolosi' pintu masuk di lapangan terbang, perkara yang sama juga boleh berlaku di laut yang 'pintunya' ternyata lebih luas.
Pengawasan dan penguatkuasaan maritim negara di perairan yang luasnya dua kali ganda dari daratan kini dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin selain Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Jabatan Perikanan dan sebagainya.
Jika dilihat daripada segi jumlah jabatan atau agensi yang terlibat, sudah tentu akan timbul soal pertindihan tugas dan pembaziran aset. Ini kerana kemungkinan wujudnya pertindihan kawasan rondaan tidak dapat dielakkan.
APMM diberikan mandat untuk menjalankan rondaan dan penguatkuasaan di Zon Ekonomi Eksklusif dan Laut Wilayah Malaysia. TLDM pula menjalankan tugas utama utuk mempertahankan kedaulatan perairan di seluruh perairan Malaysia. Dalam pada itu, polis Marin juga menjalankan tugas penguatkuasaan di perairan laut wilayah negara ini.
Ia secara tidak langsung akan mewujudkan persaingan antara jabatan dan agensi dalam menonjolkan keupayaan masing-masing.
Jika dilihat daripada segi mekanisme penguatkuasaan maritim yang efektif, kewujudan satu agensi khusus adalah perlu bagi mengelakkan pertindihan tugas dan pembaziran aset.
Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, India dan Britain misalnya, telah diwujudkan satu agensi khusus iaitu Pasukan Pengawal Pantai atau lebih dikenali sebagai Coast Guard.
Di rantau Asia Tenggara, agensi yang serupa diwujudkan di Filipina dan Indonesia. Agensi ini akan melaksanakan semua fungsi pengawasan dan penguatkuasaan maritim selain usaha mencari dan menyelamat.
Adalah diharapkan satu kajian menyeluruh dilaksanakan ke atas mekanisme pengawasan dan penguatkuasaan maritim Malaysia bagi membolehkan ancaman keselamatan maritim dapat ditangani secara lebih efektif. Dalam masa yang sama ia tidak akan menyebabkan kerajaan kehilangan jutaan ringgit disebabkan pertindihan tugas dan pembaziran penggunaan aset. Walaupun penyelarasan antara agensi boleh dilaksanakan namun ia tidak menjamin komitmen semua pihak yang mempunyai kepentingan masing-masing.
Keutamaan kepada kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan jabatan jika kita mahukan hasil yang terbaik. Anjakan paradigma ini bagaimanapun memerlukan komitmen semua pihak.

No comments: