Friday, June 5, 2009

Pertikaian Ambalat : Konflik dan Penyelesaian


Isu Pertikaian Di Laut Sulawesi Sebagai Kempen Pemilihan Presiden Indonesia

Sejak awal Jun 2009, calon wakil presiden Indonesia iaitu Prabowo Subianto telah menggunakan isu pertikaian kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi bagi meraih sokongan. Ia menyebut kawasan tersebut sebagai Ambalat. Akhbar Kompas pada 1 Jun 2009 memetik kenyataan beliau untuk menilai semula pertikaian di kawasan Ambalat dimana ianya berlaku disebabkan kekuatan Tentera Nasional Indonesia tidak ditakuti disebabkan peruntukan ketenteraan yang kurang bagi meningkatkan keupayaanya. Ia mengatakan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Indonesia tidak boleh dijual beli. Beliau mengatakan Indonesia sering diperlekehkan oleh negara jiran disebabkan ekonomi yang lemah yang secara tidak langsung menjejaskan sistem pertahanan negara. Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 2 Jun 2009 pula mengatakan bahawa isu kedaulatan Indonesia tidak boleh diberikan kompromi. Namun demikian ianya perlu diselesaikan tanpa melibatkan peperangan. Komentar oleh pembaca ke atas beberapa artikel mengenai pertikaian tersebut kebanyakannya menekankan perlunya mempertahankan wilayah tersebut dan ada yang menyatakan ‘ganyang’ Malaysia. Pandangan tersebut dilihat sebagai pandangan individu dan tidak semestinya mewakili pandangan Kerajaan Indonesia. Walau bagaimanapun, Akhbar Malaysia tidak menyentuh isu tersebut walaupun dalam kempen Pilihanraya yang lalu.


Malaysia dan Indonesia sering dianggap sebagai ‘ negara serumpun’ , ‘adik-beradik’ yang sering turun naik dalam isu hubungan dua hala. Ini meliputi isu persempadanan maritim, pendatang tanpa izin, pekerja Indonesia di Malaysia dan sebagainya. Konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia pada 1965 masih kekal dalam lipatan sejarah. Isu kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan yang menjadi isu sejak tahun 1969 telah diselesaikan melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2002. Walau bagaimanapun, ianya hanya menyelesaikan isu kedaulatan dan isu persempadanan maritim iaitu laut wilayah, pelantar benua dan zon ekonomi eksklusif masih belum diselesaikan selepas keputusan tersebut. Ini kerana Malaysia dan Indonesia hanya meminta ICJ untuk memutuskan hak kedaulatan kedua-dua pulau tersebut dan bukannya bersekali dengan persempadanan maritimnya. Adalah wajar kedua-dua negara dari awal memohon ICJ untuk memutuskan sempadan wilayahnya kerana pertikaian tersebut tidak melibatkan pihak ketiga.

Persempadanan maritim pada kebiasaanya diselesaikan melalui rundingan antara kedua-dua negara yang terlibat berdasarkan kepada perundangan antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1982 bagi mencapai kesaksamaan dalam persempadanan tersebut. Malaysia dan Indonesia merupakan negara ahli kepada KUUL 1982. Perlu dingat bahawa dalam konteks geografi, Malaysia merupakan negara berpantai yang hanya mempunyai hampir 1000 pulau dan terumbu karang berbanding Indonesia yang merupakan negara kepulauan dengan lebih 11,000 pulau dan terumbu karang. Malaysia dan Indonesia sebelum ini merupakan negara terawal dirantau ini yang memuktamadkan perjanjian pelantar benua di Selat Melaka dan Laut China Selatan pada 1969 dan perjanjian laut wilayah di Selat Melaka pada 1970. Rundingan perbatasan maritim ini boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat dan mungkin mengambil puluhan tahun untuk dimuktamadkan. Indonesia dan Vietnam umpamanya mengambil masa lebih 25 tahun untuk memuktamadkan sempadan pelantar benua di Kepulauan Natuna. Kerapkali rundingan tersebut tidak mencapai kata sepakat dan mungkin akan dikemukakan kepada pihak ketiga seperti ICJ untuk memutuskannya. Walau bagaimanapun, ianya memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak. Jika ia kekal sebagai status quo maka kedua negara akan mempertingkatkan tuntutan masing-masing dan kemungkinan berlakunya konflik di lapangan. Namun demikian, berdasarkan teori keamanan demokratik ( democratic peace theory), negara demokrasi seperti Malaysia dan Indonesia tidak akan berperang sesama sendiri.

Jika dilihat dalam isu tuntutan bertindih Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi, ianya perlu diselesaikan segera bagi membolehkan kedua-dua negara mendapat manfaat dalam mengeksploitasi sumber-sumber seperti perikanan, petroleum dan gas bagi pembangunan ekonomi negara. Dilaporkan bahawa kawasan tersebut mempunyai sumber perikanan dan petroleum/gas yang banyak. Rundingan perbatasan maritim perlulah dilaksanakan berdasarkan perundangan antarabangsa dan sekiranya ia tidak mencapai kata sepakat mungkin kedua-dua negara perlu meneliti untuk membawa kes ini kepada pihak ketiga. KUUL 1982 sebenarnya ada menggariskan bahawa jika persempadanan maritim masih belum dimuktamadkan, kedua-dua negara hanya boleh menuntut tidak lebih dari garis tengah yang diukur dari titik pangkal. Kedua-dua negara juga boleh mengadakan kerjasama untuk mengeksploitasi sumber di kawasan tersebut tanpa menjejaskan sempadan maritim yang akan dimuktamadkan kemudian. Malaysia dan Thailand telah mengambil pendekatan ini dengan mewujudkan Kawasan Pembangunan Bersama di Teluk Siam bagi mengeksploitasi petroleum dan gas. Keputusan untuk mengadakan kerjasama dilihat sebagai kesediaan negara-negara tersebut untuk berkompromi.

Sekiranya perbatasan maritim di Laut Sulawesi tidak diselesaikan,ianya sudah tentunya menjadi beban kepada generasi akan datang. Malaysia dan Indonesia sebagai negara yang berdaulat perlu meneruskan rundingan bagi mencapai kata sepakat atas dasar ‘menang-menang’ dan ianya perlulah diberikan keutamaan dalam kepimpinan baru Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia. Apatah lagi kedua-dua negara tersebut merupakan negara Islam yang mana konflik perlulah diselesaikan tanpa melibatkan pertumpahan darah.

No comments: