Friday, April 17, 2009

Isu Keselamatan Maritim Asia Pasifik

Hampir semua negara di rantau Asia Pasifik merupakan negara berpantai dan mempunyai sempadan maritim antara satu sama lain. Hanya Laos dan Mongolia yang merupakan negara tiada pantai (landlocked states). Laut memainkan peranan penting kepada rantau ini dari segi ekonomi perdagangan, pengangkutan, sumber perikanan, petroleum dan gas, pelancongan. jalur komunikasi dan pertahanan. Selat Melaka dan Selat Singapura merupakan jalur komunikasi antarabangsa yang penting di rantau Asia Pasifik yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut Pasifik selain dari Selat Lombok dan Selat Sunda seperti Peta di Lampiran A.[1] Dianggarkan 50% perdagangan dunia dan 2/3 bekalan tenaga global melalui kedua-dua selat tersebut. 80% minyak mentah Jepun dari Timur Tengah juga melaluinya. Dianggarkan sebanyak 60,000 buah kapal melalui selat ini setiap tahun.[2] Selat tersebut bukan sahaja penting kepada negara-negara di rantau Asia Pasifik tetapi juga negara yang mempunyai kepentingan maritim seperti Amerika Syarikat.

Kepentingan ini memerlukan jaminan keselamatan maritim ke atas laluan perkapalan antarabangsa di selat tersebut dari ancaman pelanunan, rompakan dan keganasan, nelayan bebas menjalankan aktiviti menangkap ikan manakala pelantar-pelantar minyak di tengah lautan bebas dari ancaman pengganas. Gangguan ke atas keselamatan Selat Melaka dan Selat Singapura bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi serantau tetapi juga ekonomi global. Keselamatan maritim dilihat sama penting dengan isu keselamatan terrestrial di rantau Asia Pasifik seperti konflik nuklear Semenanjung Korea, konflik India-Pakistan, konflik Kashmir, isu Selat Taiwan, ancaman pengganas[3] dan kini keselamatan insan (human security).[4] Isu keselamatan maritim di rantau Asia Pasifik hangat dibincangkan sejak serangan pengganas pada 11 September 2001 (9/11) dimana pengganas dikatakan akan melakukan serangan keatas laluan perkapalan strategik dunia seperti Selat Melaka dan Selat Singapura.[5]
[1] Joshua Ho, 2005, The Security of Regional Sea Lanes, Singapura, Institute of Defence and Strategic Studies, hlm. 2
[2] Tibor Kovacs, 2005, Maritime Security in the Straits of Malacca: Risk and Responses, Madrid
[3] Isu-isu keselamatan di rantau Asia Pasifik dibincangkan dalam ASEAN Regional Forum, 2008, Annual Security Outlook, Singapore, 24 Julai.
[4] Mohamed Jawhar Hassan, Security Outlook for the Asia Pacific Region, http://www.isis.org.my/files/bfpss/Security%20Outlook%20in%20the%20Asia%20Pacific%20Region.pdf [10 Mac 2009]
[5] Sam Bateman, 2006, Assessing the Threat of Maritime Terrorism: Issues for the Asia-Pacific Region Security Challenges, Volume 2 Number 3 (October 2006), hlm.78

No comments: