Friday, April 17, 2009

Pengedaran Dadah Haram di Rantau Amerika Selatan

Selepas berakhirnya Perang Dingin, ancaman kselamatan negara bukan lagi ancaman ketenteraan tetapi ancaman dari aktor bukan negara seperti jenayah terancang rentas sempadan. Ia meliputi penyeludupan manusia, pengedaran dadah haram, pengubahan wang haram, pelanunan, penyeludupan senjata dan sebagainya. Aktiviti pengedaran dadah merupakan aktiviti yang mempunyai kaitan hampir dengan semua aktiviti jenayah antarabangsa tersebut. Sebelum ini ia merupakan aktiviti yang wujud dalam sesebuah negara sahaja dan kini telah bergiat aktif di negara lain. Aktiviti pengedaran dadah haram meliputi penanaman, pengedaran dan penggunaan dadah yang melibatkan heroin, kokain, kanabis, marijuana dan dadah sintetik amphetamine-type stimulants (ATS). Golden Cresent di Asia Selatan (Pakistan, Iran dan Afghanistan) dan Golden Triangle (Myanmar, Thailand dan Laos) di Asia Tenggara merupakan kawasan penanaman utama popi bagi heroin manakala Andean Triangle di Amerika Selatan (Colombia, Peru dan Bolivia) bagi penanaman koka untuk kokain.

Proses globalisasi yang semakin meningkat sejak 1990an bukan sahaja memberikan kebaikan kepada negara tetapi juga memberikan kesan negatif. Aktor-aktor bukan negara seperti kumpulan pengedar dadah, pengganas dan jenayah terancang telah mengambil peluang dari sistem pasaran perdagangan bebas, pengurangan pemeriksaan sempadan, revolusi kecanggihan sistem komunikasi dan teknologi maklumat, kemudahan sistem kewangan dan sistem perbankan elektronik serta peningkatan kemudahan pengangkutan dalam meningkatkan aktiviti mereka seluruh dunia. Ini menyebabkan negara-negara sukar untuk menangani ancaman dari aktor bukan negara ini kerana ianya bersifat rentas sempadan dan bukan mewakili negara.

Aktiviti pengedaran dadah haram ini bukan sahaja memberikan ancaman kepada sesebuah negara dari segi keselamatan dan kestabilan politik tetapi juga ancaman keselamatan serantau dan kini keselamatan insan. Ini kerana aktiviti pengedaran dadah haram ini bukan sahaja dilakukan oleh Kartel dadah tempatan tetapi juga melibatkan kumpulan jenayah terancang, kumpulan pemberontakan bersenjata dan kumpulan pengganas antarabangsa. Aktiviti ini menjanjikan sumber kewangan bagi kumpulan tersebut dengan risiko yang rendah khususnya jika dilaksanakan di negara-negara yang dikatakan negara yang lemah.

No comments: