Thursday, May 28, 2009

Ancaman PKM kepada Keselamatan Negara

Ideologi PKM masih jadi ancaman (Berita Harian-28 Mei 2009)

PARTI Komunis Malaya (PKM) menjadi ancaman kepada keselamatan negara sebelum dan selepas merdeka sehingga termeterai Perjanjian Damai 1989. Namun, apa yang heboh sekarang ini ialah ada usaha membawa pulang bekas pemimpin utama PKM, Chin Peng ke Malaysia. Adakah ini bermakna ancaman itu sudah tiada lagi? Adakah kita mudah lupa dengan serangan PKM ke atas Balai Polis Bukit Kepong menyebabkan ramai insan tidak berdosa terkorban? Adakah PKM layak dianggap sebagai 'pejuang' sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan politik? Dalam hal ini semua pihak meliputi rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan sebagainya perlu memahami apa yang dikatakan sebagai ancaman keselamatan negara dengan melihat kepada konsep keselamatan itu sendiri.

Pada amnya keselamatan ditakrifkan sebagai kebebasan daripada sebarang ancaman sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara. Ancaman itu boleh berbentuk fizikal seperti serangan bersenjata negara lain, kegiatan pengganas atau yang bukan berbentuk fizikal seperti ideologi, serangan politik, ekonomi dan sosial. Konsep keselamatan negara adalah konsep Barat dan diperkenalkan oleh Amerika Syarikat pada era selepas Perang Dunia Kedua yang lebih merujuk kepada ancaman dari luar iaitu Kesatuan Soviet. Ada beberapa sarjana memberikan takrifan mengenai konsep keselamatan negara. Antaranya adalah Trager and Simone (1973) yang mentafsirkan keselamatan sebagai usaha untuk mencapai nilai nasional merangkumi sistem politik, sosial dan asas fizikal tertubuhnya sesebuah negara.
Nilai nasional ini merujuk kepada kelangsungan hidup bagi memastikan kewujudan berterusan sesebuah negara dan masyarakat, bahasa, pembangunan sosial dan ekonomi, kemerdekaan politik dan integriti sempadan. Al Mashat (1985) pula mentafsirkan nilai nasional itu sebagai nilai teras yang harus dipertahankan. Nilai teras yang dimaksudkan di sini ialah nilai mendukung elemen asas kepada kewujudan sesebuah negara. Elemen diperlukan untuk kewujudan sesebuah negara terdiri daripada sempadan, pemerintah, masyarakat dan kedaulatan. Keutamaan kepada nilai teras ini sering berubah, tertakluk kepada dinamik isu atau peristiwa dilihat berpotensi menjadi ancaman kepada nilai teras itu dan jika ini berlaku, ia dianggap sebagai memberi ancaman kepada keselamatan negara. Keselamatan negara difahami sebagai negara terselamat daripada ancaman musuh yakni ancaman ketenteraan yang datangnya dari luar sempadan negara.
Bagi dunia sedang membangun seperti Malaysia, ancaman kepada negara datangnya dari dalam dan luar negara ke atas nilai teras iaitu perpaduan kaum, pembangunan ekonomi, kedaulatan dan keutuhan wilayah. Berdasarkan kepada konsep itu, ideologi PKM masih menjadi ancaman kerana ia boleh mengancam nilai teras negara iaitu kepada perpaduan kaum. Dalam era globalisasi ini, walaupun tidak wujud gerakan secara bersenjata, penggunaan kecanggihan teknologi dan komunikasi mampu untuk menghidupkan semula ideologi komunis khususnya penyebaran melalui laman web dan blog. Usaha membawa pulang Chin Peng jika tidak diambil perhatian serius mampu memberi ancaman kepada keselamatan negara. Dengan demikian Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih lagi relevan untuk membendung ancaman ini. Sekali silap membuat keputusan maka peristiwa hitam yang dilakukan oleh PKM akan berulang kembali. Ia perlu dicegah daripada awal. HAMZAH ISHAK, Semenyih.

No comments: